
Dalam hantaran di X, pejabat itu menyatakan bahawa Lapangan Terbang Dubai mengesahkan sebuah ruang legar di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB) mengalami kerosakan kecil dalam insiden itu, yang telah ‘berjaya dikawal dengan pantas’.
Pasukan tindak balas kecemasan segera dikerahkan dan sedang menguruskan keadaan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan, menurut kenyataan itu.
Keempat-empat kakitangan yang cedera menerima rawatan perubatan dengan segera.
Kenyataan itu menambah bahawa susulan pelan luar jangka yang telah tersedia, kebanyakan terminal telah dikosongkan daripada penumpang lebih awal.
Kemas kini lanjut akan diberikan apabila maklumat diperoleh, menurut pegawai.
Tiada butiran lanjut diberikan mengenai insiden itu. Bagaimanapun, media Arab dan video yang tular secara meluas menunjukkan kerosakan pada sebuah bangunan di lapangan terbang berkenaan susulan serangan peluru berpandu.
Terdahulu pada Sabtu, Emiriah Arab Bersatu mengumumkan bahawa negara itu menjadi sasaran serangan Iran yang menyasarkan beberapa kawasan di negara berkenaan, khususnya ibu negara Abu Dhabi, mengakibatkan seorang penduduk terkorban.
Pada pagi Sabtu, AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran dengan mendakwa ia bertujuan menghapuskan ‘ancaman’ yang ditimbulkan oleh ‘rejim’ Iran. Sebagai tindak balas, Iran menyasarkan Israel dan pangkalan AS di rantau itu dengan peluru berpandu dan dron.
Israel mengisytiharkan ‘keadaan darurat khas dan serta-merta’ di seluruh negara.
Iran pula berikrar akan memberikan ‘tindak balas keras’ terhadap pencerobohan itu dan melancarkan serangan peluru berpandu serta dron ke arah Israel dan pangkalan AS di rantau berkenaan.
Sementara itu, Abu Dhabi Airports memaklumkan satu insiden berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed, Abu Dhabi, mengakibatkan seorang maut dan tujuh cedera, lapor Xinhua.
Dalam satu hantaran di platform media sosial X, pengendali lapangan terbang itu mengesahkan bahawa mangsa yang meninggal dunia adalah seorang warga Asia, manakala mereka yang cedera menerima bantuan perubatan.
“Orang ramai diminta mengelak daripada menyebarkan khabar angin dan hanya merujuk kepada sumber rasmi. Kemas kini akan diberikan,” menurutnya.