Iran dakwa 281 pelajar, guru terbunuh diserang AS-Israel

Iran dakwa 281 pelajar, guru terbunuh diserang AS-Israel

Kanak-kanak prasekolah dan guru bersara juga turut terkorban dalam serangan antaranya menyasarkan 700 sekolah.

Serangan AS-Israel merosakkan 789 kemudahan pentadbiran, kebudayaan, dan pendidikan, 40 bangunan pentadbiran, 30 kemudahan sukan, lima kem pelajar, dan 14 pusat kebudayaan serta pendidikan. (Gambar AFP)
ISTANBUL:
Sekurang-kurangnya 281 pelajar dan guru terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran sejak bulan lalu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik kenyataan pegawai Iran.

Jumlah korban itu melibatkan 222 pelajar, empat kanak-kanak prasekolah, 48 guru, dan tujuh kakitangan pendidikan yang telah bersara, kata Ketua Pusat Penerangan dan Hubungan Awam di Kementerian Pendidikan, Hossein Sadeghi kepada agensi berita rasmi IRNA.

Beliau berkata, seramai 185 pelajar dan kakitangan pendidikan turut cedera dalam serangan itu.

Sadeghi berkata, serangan berkenaan telah merosakkan 789 kemudahan pentadbiran, kebudayaan, dan pendidikan, termasuk 700 sekolah, 40 bangunan pentadbiran, 30 kemudahan sukan, lima kem pelajar, dan 14 pusat kebudayaan serta pendidikan.

AS dan Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Feb, yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,340 termasuk Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.

Iran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, selain Jordan, Iraq, dan negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS, sehingga mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan infrastruktur selain menjejaskan pasaran global serta penerbangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.