
Penyakit yang selama beberapa dekad belum dapat diatasi meletakkan mata pencarian dan keselamatan makanan dalam risiko.
Petani di negara pengeluar pisang utama dari Indonesia dan Afrika hingga Amerika Selatan tetap menggeruni Fusarium Wilt yang boleh menyebabkan pokok mati dan biasanya dikenali Tropical Race 4 (TR4).
Petani sudah berdepan cuaca buruk yang menjejaskan pengeluaran, selain kos tinggi dan kekurangan bahan api serta baja akibat konflik Asia Barat. Ancaman tambahan TR4 lebih memburukkan keadaan dan menjejaskan lagi pendapatan mereka.
“Fusarium Wilt TR4 kekal menjadi kebimbangan utama di Asia Tenggara dan seluruh dunia kerana ia patogen bawaan tanah sangat merosakkan yang terus berada dalam tanah selama beberapa dekad serta tidak dapat dikawal secara efektif sebaik sahaja muncul,” kata Setiausaha Sekretariat Forum Pisang Sedunia Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO), Victor Prada kepada Bernama.
“Apabila (kulat itu) ada, ia menyebabkan kerugian hasil yang teruk, boleh menjadikan tanah tidak sesuai untuk pengeluaran pisang dalam jangka panjang dan meningkatkan kos pengeluaran dengan ketara disebabkan keperluan untuk langkah pencegahan, biosekuriti dan pembendungan ketat, menjadikannya ancaman berterusan dan tidak dapat diselesaikan pengeluar pisang di seluruh dunia.”
Saintis makanan di seluruh dunia telah menjalankan eksperimen selama bertahun-tahun untuk menghapuskan ancaman TR4, namun tidak dapat menghentikan patogen daripada merebak, yang biasanya menyerang akar pisang.
Varieti pisang, termasuk Cavendish yang popular dalam kalangan petani, pengguna global dan varian banyak dieksport, turut terdedah kepada kulat.
Sebagai contoh, Fusarium Wilt yang juga digelar penyakit Panama, menghapuskan lebih 15,000 hektar ladang Cavendish di Mindanao, Filipina pada 2015.
Di rantau ini, Indonesia dan Filipina kekal pengeluar utama pisang, buah yang membekalkan nutrisi dan talian hayat bagi jutaan petani desa.
Indonesia ialah pengeluar pisang ketiga terbesar dunia dengan kira-kira 9 juta tan metrik dihasilkan setiap tahun. India pula pengeluar utama dunia dengan kira-kira 38 juta tan metrik, diikuti China dengan 12 juta tan metrik.
Bagaimanapun, sumpahan TR4 terus menghantui jutaan petani di Asia Tenggara. Ia bukan saja membawa risiko kepada pekerjaan luar bandar, tetapi boleh merosakkan ekonomi.
“TR4 kekal cabaran utama bagi petani yang tiada penyelesaian kerana apabila kulat sudah berada dalam tanah, sukar untuk mengeluarkannya atau mengawalnya daripada merebak.
“Sekiranya ladang pisang dijangkiti, kami perlu tinggalkan atau membakar keseluruhan kawasan. Kami melakukan tanaman selingan untuk menghentikan penyebaran TR4 dengan menanam kopi dan koko,” kata Pengerusi Koperasi Peladang Hijau Makmur, Sigit Wicaksono dari Lampung, Indonesia.
Daerah Lampung merupakan pengeluar pisang utama di Indonesia.
Prada memberi amaran: “Penyebaran TR4 merentasi wilayah berbeza menimbulkan ancaman besar kepada keselamatan makanan dan mata pencarian kerana pisang ialah makanan ruji serta sumber pendapatan utama jutaan orang, dan penyakit itu boleh menyebabkan kehilangan hasil yang teruk serta ketidakproduktiviti tanah jangka panjang.”
Jumlah eksport pisang global mencecah 25 juta tan metrik tahun lepas, bernilai kira-kira USD17 bilion (RM67 bilion).
Penyelidik bagaimanapun belum berputus asa.
Saintis China membangunkan tanaman tahan penyakit, varian Zhongre No 1 yang dilaporkan menjadi kejayaan utama.
“Vetite yang berpotensi seperti Zhongre No 1 ialah langkah penting ke hadapan, tetapi ia bukan penyelesaian lengkap kerana ia tidak kebal dan masih boleh dijangkiti serta menyebarkan patogen,” kata Matheus Lima, jurutera pertanian dan pakar kelestarian di Sekretariat Forum Pisang Dunia.
Katanya, pekebun kecil terus berdepan cabaran akibat sumber terhad, kesedaran dan akses kepakaran teknikal untuk mengenal pasti penyakit itu tepat pada masanya.
“Oleh itu, pencegahan dan pengurusan TR4 yang berkesan memerlukan usaha kolektif dan berterusan, merentas kerajaan, industri serta petani, dengan penyelarasan lebih kukuh di sepanjang rantaian nilai, pembinaan kapasiti berterusan dan praktikal di semua peringkat,” kata Matheus.