Kurang minyak, rakyat Cuba ke jalanan

Kurang minyak, rakyat Cuba ke jalanan

Krisis minyak mencetuskan gangguan tenaga sehingga 22 jam sehari.

Bank in Havana, Cuba EPA Images pic 15526
Kerajaan Cuba berfahaman sosialis menyalahkan embargo atau sekatan minyak AS sebagai punca krisis tenaga. (Gambar EPA Images)
MEXICO CITY:
Ratusan rakyat Cuba mengadakan bantahan di Havana susulan gangguan bekalan elektrik berterusan ketika negara itu berdepan kekurangan tenaga selepas kehilangan Venezuela sebagai pembekal utama minyaknya awal tahun ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Video tular menunjukkan penduduk di beberapa kawasan kejiranan di Havana membakar sekatan jalan pada waktu malam serta mengetuk periuk dan kuali sebagai tanda kemarahan terhadap gangguan bekalan elektrik harian di ibu negara itu yang boleh berlanjutan sehingga 22 jam.

Kerajaan negara pulau Caribbean berfahaman sosialis itu menyalahkan embargo atau sekatan minyak Amerika Syarikat (AS) sebagai punca krisis tenaga.

Sistem grid elektrik mengalami gangguan sekali lagi antara wilayah tengah Ciego de Avila dan wilayah timur Guantanamo pada pagi Khamis, mengakibatkan gangguan bekalan elektrik secara meluas, menurut pengendali nasional UNE.

Sejak awal tahun ini, hanya sebuah kapal tangki Rusia yang membawa 100,000 tan minyak tiba di Cuba. Menurut kerajaan, pulau dengan kira-kira 10 juta penduduk itu memerlukan sekurang-kurangnya lapan penghantaran seumpama itu setiap bulan bagi memenuhi keperluan tenaga.

Cuba berdepan krisis ekonomi serius sejak beberapa tahun lalu dan keadaan itu bertambah buruk sejak beberapa bulan kebelakangan ini susulan embargo minyak AS.

Havana kehilangan pembekal utama minyaknya, Venezuela, selepas pasukan khas AS menahan Presiden Nicolas Maduro di Caracas pada awal Januari.

Mexico turut mengehadkan bekalan minyaknya selepas Presiden AS Donald Trump mengugut mengenakan tarif punitif terhadap negara yang membekalkan minyak kepada Cuba.

Pada Rabu, Jabatan Negara AS menawarkan bantuan kemanusiaan langsung berjumlah USD100 juta kepada rakyat Cuba yang akan disalurkan menerusi Gereja Katolik dan organisasi bebas lain.

Menteri Luar Cuba Bruno Rodriguez pada Khamis, berkata Cuba ‘bersedia mendengar butiran tawaran itu dan bagaimana ia akan dilaksanakan’.

Namun, masih belum jelas sama ada bantuan itu akan diberikan dalam bentuk kewangan atau barangan, katanya menerusi platform X.

Rodriguez berkata, bantuan terbaik yang boleh diberikan kerajaan AS ialah melonggarkan embargo tenaga, ekonomi, perdagangan dan kewangan terhadap pulau itu.

Hubungan antara Cuba dan AS tegang sejak revolusi 1959 yang menubuhkan pemerintahan komunis di pulau berkenaan. Sejak mengambil alih pentadbiran tahun lalu, pentadbiran Trump meningkatkan tekanan untuk memaksa perubahan politik dan ekonomi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.