
Dalam kenyataan di platform X pada Khamis, Della Valle berkata, mereka menghantar surat kepada Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa bagi menggesa pengaktifan rejim sekatan hak asasi manusia global EU.
“Aktivis pertama daripada flotila yang pulang ke tanah air melaporkan insiden amat serius, termasuk dipamerkan kepada umum dalam keadaan bergari dan berantai, keganasan fizikal serta psikologi, layanan menghina dan pencabulan maruah manusia.”
Beliau berkata, EU mempunyai mekanisme untuk melaksanakan sekatan bersasar terhadap individu dan entiti dituduh melakukan pencabulan serius hak asasi manusia.
“Mekanisme itu digunakan baru-baru ini terhadap apa yang dipanggil pendatang ganas dan kini perlu diperluaskan kepada sesiapa saja yang memainkan peranan secara langsung atau tidak langsung dalam penderaan ini.
“Golongan fasis yang mentadbir Israel mesti dipertanggungjawabkan atas jenayah mereka di muka pengadilan.”
Gesaan itu menyusul video yang dimuat naik Ben-Gvir menunjukkan aktivis diikat menggunakan pengikat kabel dan dipaksa melutut selepas ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa.
Global Sumud Flotilla pada Selasa memaklumkan semua 50 kapal dalam konvoinya dirampas Israel.
Flotila yang membawa 428 aktivis dari 44 negara itu berlepas Khamis lalu dari Marmaris di Turki dalam usaha memecahkan sekatan haram Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007.