2 hari terperangkap akibat ribut salji

2 hari terperangkap akibat ribut salji

Ratusan kenderaan terperangkap di lebuh raya selepas ribut salji melanda. Pihak berkuasa hantar bantuan makanan, selimut untuk pemandu.

Ratusan kenderaan terperangkap dalam salji tebal di lebuh raya di Jepun. (Gambar AP)
TOKYO:
Pihak berkuasa Jepun terpaksa menghantar bekalan makanan, minyak petrol serta selimut kepada ratusan pemandu kenderaan yang terperangkap di satu lebuh raya selama hampir dua hari susulan ribut salji buruk yang melanda negara itu.

Salji yang mula turun pada Rabu telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk terutama di lebuh raya Kanetsu yang menghubungkan ibu negara, Tokyo dengan Niigata di utaranya.

Lalu lintas terhenti selepas sebuah treler terperangkap di dalam salji pada malam Khamis yang akhirnya mengakibatkan kesesakan sehingga lebih 16km dengan kira-kira 1,000 kereta serta lori masih tidak dapat dilepaskan dari situ menjelang petang semalam, lapor BBC memetik dari Kyodo News.

Menurut Japan Today, sekitar jam 3 petang keadaan semakin reda namun lebih 600 kenderaan masih lagi terperangkap.

Pemandu, Yoshinobu Wakiya memberitahu, walaupun letih beliau terpaksa juga membersihkan salji dari ekzos keretanya untuk mengelak asap toksik memasuki kenderaan.

Sebanyak 10,000 rumah di utara dan barat negara itu juga dilaporkan terputus bekalan elektrik akibat salji.

Menurut laporan, pekerja berusaha menggunakan peralatan dan turut dibantu jentera berat untuk melepaskan kenderaan yang terperangkap.

Sementara itu, kesesakan turut berlaku di lebuh raya Joshinetsu yang melibatkan 300 buah kenderaan terperangkap dari lewat Rabu sehingga pagi Khamis.

Agensi kaji cuaca melaporkan salji tebal – ketika cuaca dianggap paling sejuk tahun ini – dijangka berterusan sepanjang hujung minggu ini.

Ribut salji melanda dalam pada Jepun berdepan gelombang ketiga virus korona.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.