Beberapa ajaran sesat terkenal di Malaysia dan amalan karutnya

Beberapa ajaran sesat terkenal di Malaysia dan amalan karutnya

Teko jadi simbolik, persetubuhan beramai-ramai serta penjelmaan semula menjadi antara amalan karut ajaran sesat yang pernah wujud di negara ini.

Pengasas Kerajaan Langit, Ayah Pin yang pernah menggemparkan negara. (Gambar wikipedia)

Ketika kebanyakan rakyat Malaysia berpegang kepada ajaran masing-masing sama ada Islam, Kristian, Buddha atau Hindu, terdapat juga segelintir yang terpesong jauh.

Lebih menyedihkan, ada pula yang terjebak dengan pelbagai ajaran sesat termasuk menggunakan teko sebagai simbolik, boleh bersetubuh dengan sesiapa saja selain mendakwa diri adalah penjelmaan semula Jesus.

Walaupun kumpulan ini sudah diharamkan namun, ia tidak akan hilang daripada ingatan rakyat Malaysia yang pernah dikejutkan dengan kewujudannya satu ketika dulu.

1. Kerajaan Langit

Ayah Pin bersama empat isterinya (Gambar wikipedia)

Terdapat seorang rakyat Malaysia yang pernah mendakwa dirinya tuhan kepada segala agama dan boleh menjelma semula sebagai Jesus, Buddha, Shiva dan Nabi Muhammad SAW.

Bunyinya memang gila tetapi ia berjaya mempengaruhi ribuan pengikut yang mempercayai ketua ajaran itu, Arifin Mohammed yang menjadikan teko sebagai simbol ideologi ajarannya ketika pertengahan 1980an.

Dikenali sebagai Ayah Pin di kalangan 22,000 pengikutnya, dia memulakan ajaran sesat itu pada 1979 sebagai Kerajaan Langit.

Mungkin pengikut Ayah Pin dan empat isterinya terlalu berimaginasi tinggi untuk meniru kehidupan di dunia penuh fantasi.

Beberapa replika besar seperti payung kuning, pasu serta teko gergasi yang terdapat di Terengganu menjadi simbol kepada Kerajaan Langit itu.

Pengikut akan melakukan amalan mereka pada setiap malam Sabtu hingga pagi Ahad yang kononnya banyak menekankan penyembuhan rohani dan penafsiran mimpi.

Ayah Pin pernah diiringi pengikutnya untuk menaiki bot konkrit dan baring di situ hingga keesokan hari sambil dikelilingi pengikut yang berzikir sehingga jam 4 pagi.

Sebelum diisytiharkan haram oleh kerajaan pada Ogos 2005, pusat ajaran Kerajaan Langit itu dibakar dan dimusnahkan oleh individu bertopeng pada 18 Julai 2005.

Ayah Pin akhirnya meninggal dunia pada 23 April 2016 selepas mendakwa pernah dilahirkan semula sebanyak 17 kali.

2. Taslim

Sebuah rumah di Kampung Seronok yang mempunyai lambang matahari pada bumbung rumah. (Gambar Lik Meng)

Mengikut sejarah, ajaran Matahari atau Taslim juga terkenal sebagai ajaran sesat paling lama yang wujud sekitar 1870an dan ia berpusat di sebuah kampung bernama Kampung Seronok.

Pada hari ini, suasana di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang kelihatan tenang tetapi ketika 1940an hingga 50an, ajaran ini aktif melakukan pelbagai amalan karut mereka hingga berjaya mempengaruhi ramai pengikut.

Segalanya bermula selepas Haji Muhammed Shayfie berpindah ke Kampung Seronok pada 1872 dan menggelarkan diri sebagai Taslim yang mengasaskan ajaran Matahari.

Ajaran Matahari itu dikatakan mempunyai kaitan dengan kenyataannya yang pernah dibuat di hadapan Mufti Kedah ketika ditanya mengenai tuhan lalu dia menunjuk jarinya ke arah matahari.

Ia bukan hanya menimbulkan kemarahan kepada Mufti tetapi menyebabkannya diharamkan terus daripada menjejakkan kaki ke bumi Kedah.

Ada yang mengatakan pengikutnya tertarik dengan ajaran itu disebabkan amalannya tidak terlalu berat seperti tidak perlu sembahyang kerana Allah berada dalam tubuh badan apabila mengucap.

Bagaimanapun, mungkin ada yang lebih berminat dengan aktiviti yang dilakukan setahun sekali di Kampung Seronok apabila pengikutnya akan mandi dalam keadaan gelap sebelum melakukan persetubuhan.

3. Al- Arqam

Ashaari bukan hanya mempunyai 37 anak tetapi mendakwa mendapat kuasa istimewa daripada Allah SWT. (Gambar Ustaz Halim)

Ashaari Mohammad adalah pengasas kepada ajaran sesat ini dan di sebalik nama Islam, kepercayaan mereka sudah tersasar jauh daripada agama sebenar.

Ketika gaya hidup barat menjadi pengaruh utama sekitar tahun 1960an, Al-Arqam percaya umat Islam terpesong daripada ajaran agama dan satu-satunya cara untuk kembali ialah dengan bertaubat.

Terdapat pelbagai amalan menyesatkan umat Islam yang dilakukan pengikutnya atas nama untuk menyucikan jiwa malah boleh berhubung dengan golongan solihin yang sudah meninggal dunia.

Al-Arqam dikatakan berjaya menarik minat generasi muda untuk menyertai kumpulan itu selain memberi perhatian istimewa terhadap persoalan dalam kehidupan secara menyeluruh.

Pergerakan mereka bukan dilakukan secara diam-diam kerana mudah dikenal pasti dengan berpakaian jubah dan serban.

Kerajaan mengharamkan pergerakan ini pada 1994 dan namun sebelum itu ia dianggarkan mempunyai kira-kira 10,000 hingga 12,000 pengikut selain 200,000 simpatisan yang terpengaruh dengan ajaran Al-Arqam.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.