Ayah bangga anak angkat asal Kemboja beraksi di Olimpik Tokyo

Ayah bangga anak angkat asal Kemboja beraksi di Olimpik Tokyo

Jordan seorang penerjun Olimpik, dibesarkan bapa angkatnya seorang gay warga AS hingga layak ke Tokyo.

Jerry Windle bersama anaknya Jordan Windle yang diambil sebagai anak angkat ketika Jordan baru berusia 18 bulan.

Ketika Jerry Windle melihat anaknya Jordan Windle, penerjun Amerika Syarikat bertanding dalam Sukan Olimpik Tokyo Jumaat lalu, beliau kembali mengimbas perjalanan hidup mereka yang menakjubkan sehingga anaknya itu sampai ke tahap ini.

Windle, yang berasal dari Anderson, California, mengambil Jordan sebagai anak angkat ketika baru berumur 18 bulan.

“Sejak saya muda, saya memang tahu, saya ingin menjadi seorang ayah,” jelas Windle dalam satu program bual bicara “Good Morning America”.

Segalanya berubah selepas Windle yang baharu kematian ibu, bertukar kerjaya dan berpindah dari California ke Florida.

Beliau memutuskan untuk menjadi bapa tunggal dengan mengambil anak angkat selepas membaca sebuah artikel dalam sebuah majalah yang turut melampirkan butiran dan maklumat untuk pengambilan anak angkat tanpa memerlukan pasangan.

Tidak lama selepas menguruskan dokumen untuk permohonan anak angkat, beliau dimaklumkan terdapat seorang bayi dari Kemboja yang bernama Pisey pada ketika itu, menjadi yatim piatu dan sedia untuk diserahkan.

Selepas selesai proses pengambilan anak angkat yang mengambil masa lima bulan Windle membawa bayi yang beliau namakan Jordan ke Amerika Syarikat pada Jun 2000.

“Kali pertama saya memegangnya dalam pelukan saya, saya berjanji akan menjadi ayah terbaik untuknya. Saya berazam untuk memberikan waktu muda yang penuh dengan kebahagiaan dan hal yang menakjubkan”.

Jordan dibesarkan di Fort Lauderdale, Florida, sebelum bakatnya dikesan pada usia 7 tahun ketika menyertai perkhemahan musim panas.

“Anak kepada Dr Ron O Brien, Tim O Brien menyuruh saya mendaftarkan Jordan dalam program terjunan selepas beliau beraksi ketika perkhemahan tersebut. Kata mereka, beliau berpotensi menyertai Olimpik satu hari nanti. Dr Ron merupakan jurulatih acara terjun dan jurulatih kepada Greg Louganis, pemenang 4 pingat emas Olimpik dalam acara tersebut.”

Mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke Indianapolis dan North Carolina bagi membolehkan Jordan meneruskan kerjayanya sebagai atlet di bawah Nunzio Esposto, ketua jurulatih di Universiti Duke.

“Jerry sentiasa menyokong. Beliau sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengambil cuti bagi memastikan keinginan dan minat Jordan dalam sukan ini dapat dipenuhi. Beliau juga menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada saya dan Jordan,” jelas Esposto.

Windle juga sentiasa mengajar Jordan tentang asal usulnya dan budaya Kemboja. Malah ketika Jordan berumur 16 tahun, keduanya kembali ke Kemboja buat pertama kali selepas belasan tahun. Kepulangannya disambut rakyat di sana.

Selepas gagal mendapatkan tempat dalam Kumpulan Penerjun Olimpik mewakili Amerika Syarikat dalam dua percubaan sebelumnya, Jordan 22 tahun, akhirnya mendapat tempat kedua dalam sesi pemilihan Olimpik Jun lalu.

“Saya merasa lebih dari bersyukur kerana diberi peluang untuk membesarkan Jordan dan menjadi ayahnya. Ia melebihi segala-galanya”.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.