Hilang bayi 3 kali, berpantang tanpa zuriat di sisi

Hilang bayi 3 kali, berpantang tanpa zuriat di sisi

Pengguna TikTok @shaqudsi berkongsi pengalamannya kehilangan bayi sebanyak tiga kali akibat masalah rahim lemah yang dihadapinya.

Kisah kehilangan anak yang dikongsi oleh @shaqudsi di TikTok.

Hati ibu mana yang tidak hancur tatkala melihat bayi sendiri yang baru saja dilahirkan, pergi menghadap ilahi ketika dalam dakapan.

Lebih menyedihkan apabila pengalaman sama itu dilalui pengguna TikTok @shaqudsi sebanyak tiga kali, sekali gus merentap jiwa netizen yang mengikuti kisahnya.

Berdasarkan perkongsian videonya, wanita itu kehilangan tiga anak yang meninggal dunia sebaik saja dilahirkan akibat masalah kesihatan dihadapi.

Menurutnya, dia mengalami masalah rahim lemah yang menyebabkan semua bayinya lahir secara pra-matang.

Menerusi video berkenaan, dia sempat menunjukkan nama tiga anak syurganya yang terdiri daripada dua perempuan dan seorang lelaki iaitu, Nur Jannah Mohd Nazirulnizam, Nur Sumayyah dan Anas Rizqi.

Menceritakan lebih lanjut, dia melalui proses kehamilan dan kelahiran secara normal namun malangnya, dia dan suami terpaksa pulang dengan tangan kosong tanpa kehadiran bayi di sisi.

Wanita tabah itu memberitahu, tiga anaknya juga belum sempat pun menyusu sebelum disahkan meninggal dunia.

Video itu mendapat perhatian ramai netizen yang bersimpati dengan nasib pasangan berkenaan yang masih tidak berpeluang untuk menimang cahaya mata sendiri.

Kebanyakan mereka mendoakan supaya wanita itu dan suami terus tabah mengharungi dugaan dan berharap akan dikurniakan zuriat satu hari nanti.

“Al-fatihah untuk anak-anak syurga ini. Semoga puan dan suami terus kuat menghadapi ujian Allah. Anak-anak syurga menanti ibu dan bapa mereka di sana,” tulis seorang netizen.

Pada masa sama, @shaqudsi sempat memberi pesanan kepada ibu bapa supaya menghargai anak masing-masing kerana ia adalah satu anugerah yang tidak ternilai.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.