
SKMM berkata siasatan awal mendapati kandungan itu telah diubah suai dan disahkan palsu, selain kenyataan tersebut tidak pernah dikeluarkan menteri komunikasi.
Menurutnya, Media Prima Bhd turut membuat laporan polis dan menafikan hantaran berkenaan diterbitkan Buletin TV3 atau mana-mana platform berita di bawah rangkaian syarikat itu.
Tegasnya, penggunaan logo, nama serta identiti visual Buletin TV3 itu satu bentuk penyalahgunaan boleh mengelirukan orang ramai.
“Sehubungan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Seorang individu disyaki terlibat telah dipanggil untuk membantu siasatan dan keterangannya dirakam SKMM di IPD Kerian, Perak,” katanya dalam kenyataan.
Ia turut menyita seunit telefon bimbit dan satu kad SIM bagi tujuan analisis forensik digital.
Orang ramai diingatkan sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum memuat naik, berkongsi atau mengulas di media sosial kerana penyebaran kandungan palsu serta penyalahgunaan identiti boleh membawa kepada tindakan undang-undang.