Nadi Johor laksana penilaian keselamatan susulan siri pecah masuk

Nadi Johor laksana penilaian keselamatan susulan siri pecah masuk

Antara September hingga Disember tahun lepas, 13 kejadian pecah masuk libat Nadi di Johor dicatatkan.

mcmc-skmm-mcmc
SKMM rakam penghargaan kepada polis Johor atas tindakan pantas tahan suspek terlibat pecah masuk di Nadi di negeri itu. (Gambar SKMM)
JOHOR BAHRU:
Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) di Johor kini sedang melaksanakan penilaian keselamatan susulan siri kejadian pecah masuk dan kecurian yang berlaku tahun lepas.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, langkah itu merangkumi penambahbaikan kawalan akses, pengukuhan pemantauan fizikal serta pelaksanaan program kesedaran keselamatan yang lebih bersasar pada peringkat komuniti.

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan bertujuan mengurangkan risiko kejadian berulang, meningkatkan kesiapsiagaan petugas serta memperkukuh peranan komuniti setempat dalam usaha pencegahan jenayah.

SKMM memaklumkan, bagi tempoh antara September hingga Disember 2025, 13 kejadian pecah masuk melibatkan Nadi direkodkan di Johor, mengakibatkan kehilangan wang tunai serta kerosakan aset.

Tambahnya, insiden tersebut bukan sahaja menjejaskan keselamatan fasiliti awam malah turut memberi kesan kepada kelangsungan operasi harian Nadi serta penyampaian perkhidmatan kepada komuniti setempat.

Dalam pada itu, SKMM turut merakamkan penghargaan kepada polis, khususnya Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Johor serta IPD Pontian atas tindakan pantas menahan suspek.

“Penahanan suspek ini merupakan hasil penyelarasan operasi dan perkongsian maklumat yang berkesan antara polis Johor, khususnya JPJKK Johor dan IPD Pontian, bersama SKMM dan pengurusan Nadi,” katanya.

“Tindakan bersepadu ini membolehkan siasatan dijalankan dengan pantas serta mengenal pasti pola kejadian pecah masuk yang berlaku secara berulang di beberapa lokasi Nadi di Johor, sekali gus mengekang risiko berterusan terhadap keselamatan fasiliti awam dan operasi perkhidmatan komuniti.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.