
SKMM memaklumkan, pihaknya memandang serius aduan orang awam mengenai penyalahgunaan AI di platform X, khususnya melibatkan manipulasi imej wanita dan kanak-kanak sehingga menghasilkan kandungan tidak senonoh, jelik melampau atau memudaratkan.
“Penghasilan atau penyebaran kandungan memudaratkan itu suatu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM), yang antara lain melarang penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian atau aplikasi untuk menghantar kandungan berunsur jelik melampau, lucah atau sumbang.
“SKMM akan memulakan siasatan terhadap pengguna X yang disyaki melanggar AKM,” katanya menurut Bernama.
SKMM turut memaklumkan dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), semua platform dalam talian serta penyedia perkhidmatan berlesen diwajibkan mengambil langkah pencegahan bagi mengekang penyebaran kandungan memudaratkan, termasuk kandungan lucah, tidak senonoh dan bahan penderaan seksual kanak-kanak.
“Walaupun X bukan penyedia perkhidmatan berlesen buat masa ini, platform itu tetap perlu mematuhi piawaian keselamatan dalam talian di Malaysia dan bertanggungjawab mencegah penyebaran kandungan yang memudaratkan.”.
SKMM menyeru semua platform yang boleh diakses di Malaysia supaya melaksanakan langkah perlindungan selaras dengan undang-undang Malaysia dan piawaian keselamatan dalam talian, khususnya berkaitan fungsi AI, chatbot, dan aplikasi manipulasi imej.
Orang ramai dan mangsa yang terkesan dinasihatkan supaya melaporkan kandungan memudaratkan itu kepada platform terlibat serta membuat laporan kepada polis dan SKMM, termasuk melalui portal aduan dalam talian suruhanjaya itu.