
Shamir Rajadurai kelompok itu sudah bebas melayari internet tetapi belum cukup matang untuk memahami risiko yang kompleks.
“Kanak-kanak perempuan dan wanita muda, kanak-kanak pelarian, migran dan daripada keluarga B40, serta kanak-kanak kurang upaya juga berdepan risiko lebih tinggi,” kata pakar pencegahan jenayah dari Prevent Crime Now dan AntiBuli.My itu kepada FMT.
Akta Keselamatan Dalam Talian yang berkuat kuasa hari ini mewajibkan platform digital mengutamakan keselamatan kanak-kanak dalam reka bentuk dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pemantauan ibu bapa atau bantuan selepas sesuatu kejadian berlaku.
Antara langkah diwajibkan termasuk tetapan privasi dan keselamatan lebih ketat untuk pengguna kanak-kanak, sistem carian dan cadangan kandungan mengikut umur serta sekatan terhadap interaksi berisiko tinggi antara orang dewasa dan kanak-kanak.
Undang-undang ini diperkenalkan susulan peningkatan membimbangkan kes mudarat dalam talian.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata kes berkenaan kebanyakannya melibatkan penipuan dan scam, buli siber, gangguan dalam talian serta bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).
Antara Januari hingga November 2025, rakyat Malaysia kerugian kira-kira RM2.7 bilion akibat penipuan. Dalam tempoh sama, polis dan SKMM merampas hampir 900,000 fail CSAM menerusi Ops Pedo 2.0.
Pengasas NGO Protect and Save the Children Madeleine Yong pula menegaskan perkongsian kandungan seksual antara ancaman terbesar terhadap kanak-kanak di internet ketika ini.
“Unicef Malaysia telah memberi amaran bahawa CSAM kini menjadi ancaman nombor satu kepada kanak-kanak dalam talian, mengatasi buli siber,” katanya.
Berdasarkan data Internet Watch Foundation, Malaysia merekodkan 12,656 laporan CSAM dari Januari hingga Jun 2025, iaitu 78% daripada keseluruhan 16,238 laporan yang direkodkan sepanjang 2024.
Pakar kanak-kanak Dr Sasha Mohan berkata banyak kes melibatkan individu seawal usia tujuh tahun.
Beliau berkata kajian menunjukkan satu daripada empat kanak-kanak di Malaysia pernah terdedah kepada kandungan seksual atau mengganggu di internet, selalunya tanpa mereka mencarinya secara sengaja.
“Ini bermakna kira-kira 100,000 kanak-kanak di Malaysia mungkin mengalami eksploitasi seksual dalam talian setiap tahun,” katanya, sambil menambah jumlah sebenar berkemungkinan lebih tinggi kerana banyak kes tidak dilaporkan atau tidak disedari oleh orang dewasa.
Shamir berkata menerusi pelaksanaan dasar baharu seperti undang-undang keselamatan dalam talian dan anti-buli, kini ada asas perundangan jelas untuk menangani kandungan berbahaya dan memaksa platform bertindak.
Menurutnya, undang-undang itu juga membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan dalam talian, walaupun masih ada kelemahan dari segi penguatkuasaan yang boleh diperbaiki.
“Banyak kandungan berbahaya telah dilaporkan tetapi tindakan tidak diambil dengan cukup pantas.
“Ada kalanya takrifan terlalu umum atau kabur, menyebabkan tindakan tidak diambil,” katanya.
Sebelum ini, SKMM memaklumkan 92% atau 638,957 hantaran berbahaya telah diturunkan. Namun, ini masih meninggalkan kira-kira 8% atau lebih 58,000 kandungan berbahaya berkaitan penipuan, buli dan CSAM yang kekal berada di alam maya.