
Program ‘Kita Jaga Kita’ yang bermula semalam itu akan memberi peluang kepada belia untuk mencipta ekonomi mereka menerusi platform digital berteraskan kemahiran berkaitan industri kreatif.
Presiden Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kru, Norman Abdul Halim berkata, mereka yang menerima manfaat daripada sumbangan itu akan diwajibkan mengikuti kursus disediakan secara atas talian bagi mempelajari ilmu baru.
Katanya, mereka akan diberi bimbingan secukupnya untuk memulakan atau memajukan perniagaan menerusi satu kerjasama strategik bersama platform digital dan e-dagang.
“Sejajar dengan visi kerajaan Malaysia merealisasikan Wawasan Kesejahteraan Bersama 2030, Yayasan KRU melancarkan program ‘Kita Jaga Kita’.
“Belia adalah kumpulan sasar kami kerana mereka mampu mencetus perubahan. Kami percaya program ini akan memberi impak tersendiri khususnya dalam mengubah nasib dan membantu keluarga masing-masing,” katanya.
Bagi menjayakan program tersebut, Yayasan KRU turut mendapat kerjasama dan melantik 23 ikon media sebagai sukarelawan Kita Jaga Kita dan aktiviti Yayasan KRU.
“Mereka adalah barisan selebriti tanah air dengan jumlah pengikut terkumpul di media sosial lebih 15 juta orang, antaranya Zamani, Linda Rafar, Adam, Kumpulan VIP, Mior Zulkarnain, Dian Hashim, Fai Ramli, DJ Fateh, Timur, Winnie K, Denes Kumar dan Balan Kash,” ujar Norman.
Selaras dengan itu juga, Yayasan KRU turut melancarkan lagu dan video muzik ‘Kita Jaga Kita’ yang merupakan lagu tema program itu, nyanyian dari gabungan selebriti tersebut.
“Sebagai sukarelawan, mereka akan menyebarkan maklumat berkenaan inisiatif ini kepada masyarakat Malaysia melalui akaun media sosial masing-masing.
“Mereka juga akan menyumbang kepada tabung Yayasan KRU menerusi hasil kutipan royalti dan jualan digital penstriman lagu yang akan digunakan untuk membiayai inisiatif Yayasan,” jelas Norman lagi.
Program Kita Jaga Kita ini turut mendapat sokongan daripada AEON Co Malaysia Berhad serta Majlis Belia Malaysia (MBM).
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON Group Malaysia, Shafie Shamsuddin berkata, pihaknya yakin program terbabit boleh membangunkan generasi muda dengan inovasi kreatif serta kemahiran dalam bidang keusahawanan.
“Kami sendiri sentiasa berusaha untuk membabitkan diri dalam program pembangunan demi kelestarian komuniti,” katanya.
Sukarelawan juga boleh membantu Yayasan KRU memuat naik dan berkongsi bahan program terbabit di media sosial masing-masing selain menjemput orang ramai menjayakan inisiatif itu.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang www.yayasankru.org
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]