
Penyanyi terkenal Amerika Syarikat, R Kelly didapati bersalah mengeksploitasi statusnya sebagai bintang untuk tujuan pemerasan dan pemerdagangan seks dengan memperdaya wanita dan kanak-kanak sejak dua dekad lalu.
Seramai 11 individu – sembilan wanita dan dua lelaki tampil sebagai saksi bagi menggambarkan penderaan seksual dilakukan artis terbabit.
Selepas dua hari perbicaraan, Kelly kemudian didapati bersalah atas sembilan pertuduhan oleh juri Persekutuan dan berdepan hukuman penjara sehingga 100 tahun iaitu 20 tahun untuk pemerasan dan 10 tahun untuk setiap kesalahan pemerdagangan seks lapor BBC.
Hukuman kepada bekas suami mendiang penyanyi Aaliyah itu dijangka akan diumumkan pada 4 Mei 2022 dan Kelly kemungkinan berhadapan hukuman penjara sepanjang hayat.
Juri mendapati pemilik nama sebenar, Robert Sylvester Kelly itu menjadi ketua kepada rangkaian pemerasan dan penganiayaan bertujuan mengumpan wanita dan kanak-kanak untuk kepuasan seksnya.
Pelantun lagu I Believe I Can Fly itu juga didapati bersalah melakukan pemerdagangan wanita di beberapa negeri di AS dan menghasilkan pornografi kanak-kanak.
Seorang saksi wanita yang dikenali sebagai Sonja dan pernah menjadi mangsa Kelly berkata dia dikurung, diberi dadah dan diperkosa.
Gloria Allred, peguam yang mewakili beberapa mangsa memberitahu wartawan ia adalah kes paling serius membabitkan pemangsa seksual yang dikendalikannya sepanjang 47 tahun berkhidmat sebagai peguam.
Sabitan ke atas Kelly itu dibuat 13 tahun selepas dia terlepas dari pendakwaan kes pornografi kanak-kanak dalam perbicaraan di Illinois.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]