
Tertuduh, Idham Rhusla Mohamad Shahuri, 42, yang juga seorang duda dua anak membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason, lapor Harian Metro.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki satu video pornografi kanak-kanak yang disimpan dalam telefon bimbit jenama Oppo A35 miliknya di sebuah rumah di Kampung Sadang, Belanja Kiri di Parit, dalam daerah Perak Tengah, pada 12.51 tengah hari, 6 April lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) M Kathan.
Berdasarkan fakta kes, serbuan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Perak Tengah menjumpai satu video berunsur pornografi kanak-kanak yang terdapat dalam galeri telefon tertuduh.
Fakta itu juga menyatakan video berkenaan diperoleh secara muat turun daripada aplikasi Telegram dan disimpan untuk kegunaan sendiri.
Dalam prosiding itu, mahkamah diberitahu hanya terdapat satu video pornografi kanak-kanak disimpan dalam galeri telefon bimbit tertuduh.
Terdahulu, Kathan merayu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang singkat dari tarikh tangkap dengan alasan anak guamnya berpendapatan RM1,800 sebulan dan menyara dua anak selain perlu menyara bapa berusia 77 tahun.
Nor Arfahanim bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai bentuk pengajaran supaya perkara itu bukan sahaja tidak berulang malah sebagai pencegahan kepada masyarakat.
Menurutnya, kesalahan memiliki bahan lucah kanak-kanak yang kini semakin berleluasa.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman yang bermula dari tarikh tangkap dan mengarahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama tiga tahun bermula selepas hukuman penjara tamat.
Mahkamah turut menetapkan tertuduh menjalani sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh penahanan di penjara.