
Sejak satu dekad lalu, seorang lelaki enggan berganjak dari tapak lokasi bencana nuklear di Fukushima demi menjaga kucing terselamat yang ditinggalkan jirannya.
Lelaki berusia 57 tahun itu, Sakae Kato tergerak hati untuk menjaga kucing terbabit selepas melihat banyak haiwan peliharaan mati di rumah ditinggalkan oleh 160,000 penduduk yang berpindah dari situ.
“Saya ingin terus berada di sini menjaga kucing ini. Selepas itu, saya mungkin pergi selama-lamanya sama ada hari ini atau beberapa jam lagi,” katanya yang ditemui di rumahnya terletak di zon kuarantin tercemar.
Setakat ini, dia menjaga 41 kucing di rumahnya dan beberapa lagi yang berada di dalam bangunan kosong di situ.
Dia meninggalkan makanan untuk kucing terbabit di sebuah pondok stor namun ketiadaan bekalan air menyebabkan dia terpaksa mengambilnya air gunung selain memandu ke tandas awam.
Selain kucing, Kato turut menjaga seekor anjing yang dipanggil dengan nama Pochi.
Sehingga kini, terdapat 23 ekor kucing mati yang ditanam di kebun Kato namun baru-baru ini ia diganggu oleh babi hutan berkeliaran di kawasan tinggalan berkenaan.
Kato mengakui, keengganannya untuk berganjak dari situ kerana terlalu sayangkan kucing dan pada masa sama, kawasan tanah itu adalah milik keluarganya sejak tiga generasi lalu.
“Saya tidak mahu meninggalkan tempat ini kerana suka berada di kawasan gunung,” katanya.
Dia mendiami sebuah rumah kayu dua tingkat yang keadaannya semakin usang yang hampir menyembah bumi.
“Ia mungkin bertahan kira-kira dua atau tiga tahun lagi. Dindingnya juga semakin usang,” katanya.
Kato menganggarkan, dia membelanjakan kira-kira USD 7,000 (RM28,384) sebulan untuk membeli makanan haiwan sebahagiannya digunakan untuk membeli makanan anjing yang diberikan kepada babi hutan.
Pada 25 Februari lalu, Kato ditahan kerana disyaki membebaskan babi hutan daripada perangkap dipasang kerajaan Jepun pada November.
Seorang doktor veterinar dari Tokyo, Yumiko Konishi yang membantu Kato berkata, ada penduduk tempatan yang menjaga kucing terbabit di rumahnya namun sekurang-kurangnya seekor dilaporkan mati sejak dia ditahan atas kes itu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]