
Diarahkan oleh pengarah filem Korea Selatan dan penulis skrip, Hwang Dong-hyuk, siri ini melibatkan beratus-ratus peserta yang menanggung hutang, bersaing untuk mendapatkan hadiah utama.
Namun, mereka mungkin berdepan maut jika mereka kalah.
Sejak dilancarkan pada 17 September lalu, siri ini menjadi drama Korea pertama yang mendapat tempat teratas di Netflix, Amerika Syarikat.
Di Malaysia, pengendali pengangkutan awam tempatan, RapidKL, baru-baru ini menggunakan pemandangan popular dari Squid Game untuk mempromosikan penggunaan kad, berbanding token untuk perjalanan kereta api mereka.
Ilham itu turut menjadi ikutan pemilik perniagaan lain yang cukup terinspirasi dan meminati Squid Game.
Salah satu contohnya ialah Mohammad Farid Omar, 34, pemilik Fixology Printing Studio di Ulu Kelang, Selangor.
Sebagai seorang peminat filem thriller, dia terumpan setelah menonton siri tersebut di Netflix. Malah, kegilaan Farid terhadap siri itu turut mendorongnya memulakan kumpulan Telegram khusus untuk peminat Squid Game yang digelar ‘Squid Game Fans Malaysia’.
“Saya rasa siri ini sangat realistik berbanding filem adiwira lain. Ia turut memaparkan betapa pentingnya kemampuan untuk menguruskan hutang.
Pada masa yang sama, ini juga menunjukkan bahawa wang tidak dapat membeli kebahagiaan.”
Namun begitu, Farid mengakui rancangan itu lebih sesuai untuk penonton berusia 18 tahun ke atas kerana adegan tertentu dalam siri ini mungkin terlalu mengerikan buat kanak-kanak.
Terinspirasi dengan siri ini, Farid, yang juga seorang pencipta kandungan di TikTok (@ faridomar.channel) telah mula menjual pakaian bertema Squid Game.
Menurut Farid, setakat ini jualannya cukup memberangsangkan.
“Sejumlah besar pelanggan saya adalah orang muda dari Malaysia, Singapura, Brunei, dan Indonesia. Saya percaya mereka seronok menggayakan pakaian Squid Game ketika keluar bersiar atau hendak mengambil gambar di media sosial,” ujarnya.
Jantina bukan penghalang
Walaupun ramai yang menganggap kebanyakan peminat Squid Game adalah lelaki, Farid berkata kira-kira 30% anggota dalam kumpulan Telegramnya adalah wanita.
Malah, minat mendalam terhadap Squid Game telah dijadikan sebahagian daripada aktiviti keluarga kerana isterinya, Kazimah Kassim, 33, juga seorang peminat tegar.
“Saya akui, agak takut ketika pertama kali menonton Squid Game. Pada masa yang sama, saya juga merasakan emosi lain seperti kegusaran dan kesedihan.
“Tetapi selepas pusingan pertama itu, saya tidak lagi takut. Akhirnya saya menonton siri ini berkali-kali semata-mata untuk menemani adik-beradik saya yang tidak mahu menontonnya sendirian,” kongsinya sambil ketawa.
“Siri ini menggambarkan bagaimana mereka yang terdesak sanggup melakukan apa saja, dan itulah sebabnya mengapa sangat penting untuk kita tahu menguruskan kewangan dengan baik.”

Peminat pelbagai bangsa, tua dan muda
Akmal Anassabil, pemilik Titastore di Kajang, Selangor, juga adalah peminat Squid Game yang selesai menonton kesemua sembilan episod siri itu dalam satu malam.
“Saya rasa siri ini sangat unik, dan ada iktibar yang dapat kita pelajari darinya. Ia juga menunjukkan betapa pentingnya wang dalam masyarakat kita dan nilai yang diberikan manusia terhadap kebendaan,” kata wanita berusia 38 tahun itu.
“Namun, saya percaya rancangan itu tidak sesuai untuk mereka yang berumur 18 tahun ke bawah.”
Sejak menontonnya, dia mendapat inspirasi dari siri ini untuk menghasilkan lencana butang Squid Game di kedainya.
Buat masa ini, lencana butang itu adalah salah satu produk terlaris di kedai dalam taliannya di Shopee.
“Dalam masa tiga puluh minit saja lencana butang itu disenaraikan di Shopee, jumlah jualannya sangat mengagumkan. Pelanggan saya adalah dari kumpulan muda dan pertengahan umur. Mereka kebanyakannya adalah rakyat Malaysia yang berbilang bangsa,” kata Akmal kepada FMT.
Menurut Akmal, Titastore adalah kedai pertama yang menjual lencana butang Squid Game di Shopee. Selain lencana butang ini, Akmal turut menjual barangan lain seperti pelekat, topi, dan tali leher.

Kegilaan terhadap Squid Game turut mempengaruhi platform e-dagang.
Ketika menjengah seketika ke platform Shopee dan Lazada, didapati kegilaan terhadap Squid Game turut membanjiri platform ini. Antara produk menarik dari penjual lain di Shopee dan Lazada termasuk guli Squid Game, biskut, dan pelitup muka.
Untuk tidak ketinggalan, Netflix juga telah melancarkan barangan rasmi Squid Game di kedai e-dagang mereka.
Walau bagaimanapun, jenis barangan yang terdapat di sini adalah terhad, dan buat masa ini barangan tersebut hanya terdapat di Amerika Syarikat.
Bagi peminat Squid game, anda boleh berkunjung kedai Farid di sini dan kedai Akmal di sini.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]