
Georger Town: Di sebuah rumah kedai terpencil di Beach Street, kelihatan sehelai kain sepanduk tergantung pada pintu dan ia agak pelik apabila dipenuhi dengan bintik merah.
Apabila diamati dengan lebih dekat, penulis akhirnya menyedari bahawa ia sebenarnya adalah rekaan cop yang mengandungi tulisan Cina.

Ia begitu teliti dan percayalah, tiada rekaan yang dilihat menyamainya sekali gus membuatkan anda terpegun dengan kehalusan seni yang ditunjukkan pada tulisan berkenaan.
Sepanduk ini juga mempamerkan bukti hasil kerja tangan seorang artis berusia 80 tahun yang pernah mengukir nama dari seluruh dunia iaitu Ng Chai Tiam.
Sejak mula menghasilkan ukirannya pada 1967, hasil seni Ng mendapat permintaan dari luar negara termasuk Eropah, Australia, Amerika Syarikat serta Jerman.
Kini, dia adalah pengukir cop tradisional paling tua dan satu-satunya yang tinggal di Pulau Pinang.

“Selepas tamat persekolahan, saya mengikuti program seni selama empat tahun di Hong Kong yang memfokuskan seni halus tradisional Cina. Ia merupakan kali pertama saya mempelajari seni mengukir cop.
“Dulu, pen seni halus masih belum wujud, jadi kami menggunakan berus kaligrafi dan dakwat hitam untuk melukis nama pada batu,” katanya sambil mengeluarkan pen seni halus berukuran 0.5 mm yang digunakan untuk menghasilkan butiran pada ukirannya.

Berbekalkan kemahiran serta minat, Ng pulang ke Pulang Pinang selepas tamat pengajian selama empat tahun itu sebelum membuka kedai Tian Hua Arts and Antique pada 1967.
Berpegang teguh dengan konsepnya selama 45 tahun, Ng terus menghasilkan seni dengan cara tradisional dan melakukan ukiran setiap tulisan Cina hanya menggunakan tangannya saja.

Pengalamannya tidak perlu dipersoalkan lagi dan Ng akan memastikan bahawa setiap ukiran dihasilkannya akan menjadi lebih baik lagi.
Ketika tangan kirinya memegang erat batu berwarna, tangan kanannya digerakkan dengan teliti untuk menghasilkan ukiran tulisan Cina terbaik dan tepat.
“Selepas ukiran awal, saya menggunakan pula peralatan elektrik untuk melakukan ukiran lebih dalam pada batu memandangkan sebahagiannya agak keras berbanding yang lain,” katanya sambil memegang pengukir elektronik berwarna jingga.

Ng mungkin bukan seorang yang bekerja dalam keadaan tersusun dan kemas apabila mejanya hanya dipenuhi dengan kertas dan peralatan mengukir, namun, hasil kerjanya menggambarkan keadaan di sebaliknya.
Sambil menggunakan kanta pembesar, Ng amat berhati-hati untuk melukis garisan luar dengan dakwat hitam pada tulisan Cina yang timbul.

Kebanyakan cop ukiran dihasilkan Ng memerlukan penggunaan laser selama beberapa jam untuk disiapkan sebelum dicelup dalam dakwat merah yang terang.
Sebaik disiapkan dengan warna merah, tiba masanya untuk melihat hasil kerja cop ukirannya yang ditekap pada sehelai kertas.
“Terdapat tiga jenis huruf, satu merah, putih dan yin dan yang,” kata Ng sambil menjelaskan huruf yin dan yang adalah kombinasi dua jenis huruf itu.

Ng turut menggunakan rekaan yang rumit ke dalam nama, malah turut mengukir haiwan seperti anjing dan lembu pada cop berkenaan namun hanya terdapat satu jenis ukiran dirasakannya sukar untuk dikuasai.
“Apabila mereka memberi satu logo, anda harus padankannya bersama rekaan dengan elok. Lebih sukar lagi apabila anda harus melukisnya secara terbalik,” katanya.
Ng menjelaskan, bagi membolehkan ia dibaca, semua rekaan ukiran harus dihasilkan dalam kedudukan sepatutnya kerana jika tidak tulisan dan corak itu akan kelihatan terbalik apabila dicop.

Sebenarnya, mengecop nama anda setiap hari boleh membawa feng shui yang baik ke dalam kehidupan dan amalan mencop nama itu dikatakan lebih baik dilakukan ketika kelahiran bayi.
Ia dikatakan boleh menjadikan seseorang anak menjadi lebih bijak dan Ng mendakwa cucunya mendapat manfaat daripada amalan itu.
“Ketika dia dilahirkan, saya terus mengukir cop nama untuknya dan mula mengecop namanya.
“Ketika berusia satu atau dua tahun, dia boleh bercakap dengan baik hingga anak perempuan saya juga terkejut,” kata Ng sambil ketawa.

Seiring dengan amalan perniagaannya, Ng turut menerapkan seni itu pada dirinya dengan menulis sendiri setiap kad nama perniagaan yang diberikan.
“Saya tidak membuat salinan kad nama perniagaan dan sentiasa menghasilkan dan mengecopnya sendiri,” katanya.

Selain membuat kad nama dan mengukir batu, Ng turut memikul peranan besar dalam memastikan seni ukiran itu tidak terus berkubur di Pulau Pinang.
Setakat ini, tiada bayangan yang menunjukkan lelaki berusia 80 tahun itu akan berundur daripada dunia seni ukiran itu memandangkan Ng percaya dia berupaya meneruskannya dengan hasil kerja yang lebih baik.
Tian Hua Arts and Antique
371, Beach Street
10300 Georgetown
Penang
Waktu Operasi: 9.30 pagi – 5 petang (Setiap hari)
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]