Balai cerap solar 2,300 tahun dianugerah status warisan dunia Unesco

Balai cerap solar 2,300 tahun dianugerah status warisan dunia Unesco

Chankillo di Peru menampilkan 13 menara batu yang berfungsi sebagai kalender yang ditandai oleh lengkuk terbit dan terbenamnya matahari.

Chankillo di Peru yang telah dianugerahkan status warisan dunia Unesco.

Sebuah balai cerap solar tertua di Amerika telah dianugerahkan status warisan dunia Unesco dan digelar sebagai karya genius kreatif manusia.

Runtuhan arkeologi Chankillo berusia 2,300 tahun yang terletak di lembah gurun utara Peru itu adalah satu daripada 13 tapak global terbaharu yang dimasukkan ke dalam senarai monumen budaya.

Susunan 13 menara sejajar di atas rabung adalah ciri paling unik dan terkenal dari tapak purba yang berusia antara 250 dan 200 Sebelum Masehi (SM) itu.

Menara yang berfungsi sebagai kalendar itu menggunakan lengkuk matahari terbit dan terbenam untuk menandakan bukan sahaja ekuinoks dan solstis tetapi juga waktu yang tepat untuk sesuatu tahun.

Tapak itu juga merangkumi kompleks dengan tiga lapis dinding di puncak bukit yang mengagumkan, yang dikenal sebagai Kuil Berkubu yang terletak di lanskap tandus di lembah sungai Casma.

Pengarah program Chankillo, Iván Ghezzi, memberitahu Guardian dia “benar-benar terharu” dengan pengiktirafan itu, namun tidak terkejut agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mendapati Chankillo layak dimasukkan ke dalam senarai tersebut.

“Ini adalah satu-satunya barai cerap dari dunia kuno yang kita ketahui sebagai kalender solar tahunan yang lengkap,” kata Ghezzi, seorang arkeologi yang telah mengkaji dan bertugas di tapak tersebut sejak dua dekad lalu.

Ahli arkeologi percaya tapak itu ditinggalkan pada awal abad pertama dan terus dilupakan sehinggalah pada kurun ke-19.

Chankillo adalah tapak ketiga di Peru yang telah dimasukkan ke dalam senarai warisan dunia Unesco abad ini.

Status itu turut dianugerahkan kepada Qhapaq Nan, sebuah sistem jalan raya besar era Inca pada 2014 dan Caral, kota tertua di Amerika pada 2009.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.