Angka kematian Covid-19 ibarat ‘nahas bas jatuh gaung’

Angka kematian Covid-19 ibarat ‘nahas bas jatuh gaung’

Seorang pakar membuat gambaran sebenar situasi pandemik untuk mengingatkan orang ramai supaya patuh SOP.

Rakyat Malaysia diingatkan berkali-kali agar jangan mengambil ringan prosedur operasi standard (SOP) dan bersama-sama menghentikan sebaran Covid-19.

Situasi penularan jangkitan Covid-19 membimbangkan hingga mengakibatkan jumlah kematian besar setiap hari diibaratkan seperti nahas sebuah bas yang terjatuh gaung dan mengorbankan semua penumpangnya.

Itu kata seorang Pakar Perunding Perubatan Kecemasan dan Trauma, Dr Alzamani Mohammad Idrose ketika menggambarkan keadaan sebenar situasi pandemik kepada seluruh rakyat Malaysia yang masih mengambil ringan dan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Hantaran itu dikongsikan menerusi akaun Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia beberapa hari lalu apabila beliau terus mengingatkan orang ramai yang bersikap pentingkan diri sendiri hingga menyusahkan orang lain.

Lebih menyedihkan apabila masih ramai yang menipu diri sendiri dengan melanggar SOP dan melakukan ziarah secara senyap-senyap ketika sambutan Aidilfitri lalu selain didakwa menggunakan jalan tikus untuk merentas sempadan.

“Peranan anda terlalu besar! Kini setiap hari ‘sebuah bas’ masuk gaung dan semua penumpangnya mati.

“Setiap hari sekitar 50 orang mati akibat Covid-19 di Malaysia. Petugas rumah mayat inilah yang menghantar mayat untuk dikebumikan. Ahli keluarga hanya boleh melihat dari jauh.

“Tiada kucupan terakhir untuk selamat tinggal ke alam barzakh. Hanya doa yang dititip dari jauh. Ada di antaranya ibu atau bapa yang mendapat Covid-19 daripada anak atau menantu yang berziarah,” tulisnya sambil merujuk satu video yang turut dimuat naik pada hantaran itu.

Menurutnya, ramai yang masih tidak sedar apabila petugas barisan hadapan terpaksa bertungkus-lumus berdepan ledakan kes Covid-19 dan menganggap ia boleh ditangani dengan menambah katil saja.

Katanya, ia bukanlah semudah yang disangka kerana banyak kos lain perlu difikirkan dan rakyat Malaysia sepatutnya lebih celik dan bertanggungjawab melaksanakan peranan masing-masing.

“Dalam keadaan petugas kesihatan bertungkus-lumus, anda boleh bercekak pinggang sambil berkata ‘Bukalah katil lebih, tambah saja katil di Unit Rawatan Rapi (ICU)’.

“Malangnya, katil ICU bukan katil yang dibeli di kedai perabot. Ada kakitangan ramai, peralatan bernilai jutaan ringgit, kemahiran mengendalikan pesakit dan banyak lagi aspek yang sukar,” tulisnya lagi.

Tegasnya, biarpun sebanyak mana katil yang ditambah di hospital, ia tidak akan menghentikan penularan kes sekiranya rakyat gagal mematuhi SOP.

“Semuanya hanya akan berhenti apabila anda melihat diri sendiri, berhenti menyalahkan orang tetapi salahkan diri sendiri. Peranan anda besar untuk menghentikan sebaran Covid-19.

“Caranya tetap sama, tidak berubah seperti dipesan sejak setahun lalu. Pakai pelitup muka dan jauhilah manusia,” tegasnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.