
Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) pada Jumaat malam melaporkan 10 terbunuh dan lebih 30 kecederaan direkodkan dalam jumlah tidak muktamad susulan serangan Israel ke atas sebuah bangunan di Riyaq, sambil menambah operasi mencari dan menyelamat bawah runtuhan masih diteruskan.
Kumpulan Hizbullah pula mengumumkan kematian pemimpinnya, Hussein Mohammad Yaghi dalam serangan Israel di Riyaq.
Terdahulu, jet pejuang Israel melancarkan siri serangan udara ke atas beberapa kawasan di Daerah Baalbek pada petang Jumaat.
Menurut agensi itu, satu daripada serangan menyasarkan sebuah bangunan di Riyaq sehingga memusnahkan struktur berkenaan sepenuhnya.
Pesawat Israel turut melancarkan dua serangan di dataran bandar Qasr Naba dan Tamnine al-Tahta di Baalbek, serta tiga lagi serangan di kawasan Shaara sepanjang kaki banjaran gunung timur Lubnan.
Serangan terbaharu itu berlaku di tengah-tengah pelanggaran berulang kali Israel terhadap perjanjian gencatan senjata pada November 2024, yang mengorbankan serta mencederakan ratusan rakyat Lubnan. Israel terus menduduki lima puncak bukit Lubnan yang dirampas dalam perang terbaharu, selain wilayah lain di Lubnan.