
Hari ini Maulidur Rasul 1442 hijrah. Tema maulid tahun ini “ummah rabbani negara harmoni”. Entah apa maksudnya, tidaklah saya ketahui. Juga, saya tidak mahu mengulas slogan belon begini. Juga, untuk satu hari mungkin eloklah kita berhenti cerita hal politik dan memberi perhatian kepada akhlak Rasulullah dan keluarganya.
Setiap kali maulid, saya suka membaca Hikayat Nabi dan Orang Miskin. Naskah sastera tradisional ini pendek sahaja. Jadi, ia boleh dibuat baca untuk anak-anak selepas sembahyang bersama-sama. Sebetulnya hikayat ini tidak memperihalkan Nabi Muhammad secara langsung, tetapi sebaliknya menjelaskan mengenai Fatimah Al-Zahra, puterinya.
Dalam dunia yang ekonomi begitu terjejas oleh pandemik Covid-19 dan ada keluarga yang melarat dan resah tidak cukup makan; Hikayat Nabi dan Orang Miskin ini barangkali elok kita hayati. Jauh lebih elok dihayati berbanding slogan “ummah rabbani negara harmoni” yang entah apa maknanya kerana kita sukar membayangkan bagaimana ummah dapat rabbani kalau ahli politik dan agamawannya tidak reti kuarantini.
Hikayat ini menyatakan di awal; “hikayat Fatimah pada sekali peristiwa pada suatu hari tiba-tiba datang seorang fakir yang miskin lagi daif datang meminta sedekah di rumah Fatimah”.
Puteri Rasulullah ini dikunjungi oleh seorang miskin di rumahnya, meminta sedekah. Jika ada orang daif mengetuk muka pintu rumah seorang mulia seperti Fatimah, kita membayangkan baginda tentu saja akan memberi apa yang terdaya. Orang miskin itu bersuara begini; “Ya Fatimah, raja segala perempuan, berikan sedekah apa-apa kepada hamba barang apa sekiranya tuan boleh beri pada hamba kerana hamba ini sudah 3 hari tiada makan lagi sudah amat daif”.
Fatimah memikirkan apakah barangan yang boleh diberi untuk meringankan kesengsaraan si miskin. Baginda terdengar-dengar firman Allah berbunyi; “Lan tanalul birra hatta tunfiqu mimma tuhibbun, wa ma tunfiqu min syai’in fa innallaha bihi ‘alim”. Ia adalah dari ayat 92 surah Ali Imraan yang bermaksud, terjemahannya, “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya”.
Hikayat ini kemudian mengekori hal si miskin yang menjual gaun perkahwinan Fatimah di pasar. Namun, si miskin bernasib malang apabila Saidina Umar merampas gaun tersebut dengan sangkaan si miskin ini mencuri. Kes ini tiba ke pengetahuan Nabi Muhammad yang dengan ilmu dan keadilannya melelong gaun tersebut sehingga dibida dengan harga tinggi oleh Siti Ma’wa. Beliau kemudian membungkus gaun tersebut elok-elok dan mengutus kembali ia sebagai pemberian istimewa kepada Fatimah. Apabila gaun itu tiba kembali di hadapan puteri Rasulullah berserta hadiah lain, Fatimah menangis dengan begitu hebat sekali kerana menyangka pemberiannya kepada orang miskin itu tidak diterima oleh Allah.
Kata sahibul hikayat atau penulis naskah ini: “Maka sampailah 7 lapis langit sampai arasy Allah tangisnya Fatimah, sekalian makhluk pun menangis semuanya daripada mendengar tangisnya Fatimah kepada Allah.”
Oleh sebab tangisan itu bergema sampai ke langit, malaikat Jibrail menemui Nabi Muhammad dan menceritakan keadaan tersebut dengan pesan; “Ya Rasulullah, firman Allah kepada tuan hamba, disuruh tuan hamba datang ke rumah Fatimah dan disuruh diam juga tangisnya kepada Allah dan disuruh terima juga hadiah orang padanya, kerana sanya Allah menerima sedekahnya Fatimah itu. Hanya sebab itu pembalasan Allah daripada harkat pahala sedekahnya kerana Allah”.
Pesan malaikat Jibrail itu mendorong baginda Nabi Muhammad ke kediaman Fatimah memujuk anaknya; “Maka datanglah Rasulullah kepada rumah Fatimah, maka ujar Rasulullah, ‘Hai anakku Fatimah, raja segala perempuan. Engkau terima hadiah orang dan diamlah engkau daripada tangismu, sanya sudah diterima Allah sedekahmu itu'”.
Meskipun naskah ini pendek, terdapat banyak perbahasan dapat dikemukakan dari Hikayat Nabi dan Orang Miskin ini. Persoalannya bukan sahaja mengenai keagungan Fatimah, tetapi juga mengenai keelokan akhlak puteri nabi itu yang memberi sedekah terbaik kepada orang miskin.
Namun demikian nyaris-nyaris sekali pemberian Fatimah itu dirampas daripada tangan si miskin kerana terdapat salah sangka daripada Umar. Harus diingatkan, Fatimah dan Nabi Muhammad sendiri bukanlah golongan T20. Mereka mungkin dari darah bangsawan Bani Hasyim dan berdarah Quraisy tetapi keluarga Rasulullah memang terasuh oleh kecukupan dan tidak memerlukan kemewahan. Itulah sebabnya Fatimah mencari-cari barangan untuk diberikan kepada si miskin. Ini kerana, beliau sendiri dalam kategori miskin. Malah kemiskinan Nabi Muhammad dan Fatimah tidak pun dapat dikategorikan sebagai B40. Sedangkan mereka boleh sahaja mencari peluang dan kesempatan untuk hidup sebagai elitis pemimpin.
Hari ini ummah rabbani negara harmoni yang kita dambakan entah macam apa. Pemimpin negara ini tidak pun seperti Rasulullah. Mereka hidup dalam kepuk kemewahan. Puteri-putera mereka juga hidup dalam kayangan. Tidak ada yang seumpama Fatimah. Rakyat yang susah dan derita dalam pandemik ini nampaknya menanggung Kabinet yang terlalu besar dengan 31 menteri, 38 timbalan menteri, 70 orang keseluruhannya (termasuk perdana menteri).
Jumlah pemimpin sebegini ramai kita khuatiri tidak mencerminkan langsung akhlak Nabi Muhammad seperti dalam sirah. Orang miskin di negara ini bersengkang mata, memerah kudrat dan memeras tenaga. Portal Perisytiharan Harta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pernah mendedahkan ada pemimpin negara berpendapatan bulanan sebanyak RM93,841.65 dengan jumlah aset melebihi RM10 juta. Manakala menteri yang berada di tangga kedua kayanya berpendapatan RM87,877.20 sebulan. Seorang pemimpin dari Sabah, sebuah negeri miskin dan melarat; beroleh RM85,450 sebulan. Angka-angka ini tentulah melongokan buat orang miskin.
Sepertinya rakyat yang susah disuruh dan dipaksa menjadi rabbani, agar negara boleh harmoni. Kita sebetulnya tidak pun tahu dan faham, harmoni ini untuk siapa?
Ini kerana harmoni yang diperikan tidak benar-benar dapat diterjemah dalam bayangan orang miskin. Ada agamawan yang harmoni misalnya beroleh sehingga gaji elaun dan wang pencen dari jawatan terdahulu sehingga RM85,227.20.
Petikan dari Hikayat Nabi dan Orang Miskin membawa ayat “Lan tanalul birra hatta tunfiqu mimma tuhibbun, wa ma tunfiqu min syai’in fa innallaha bihi ‘alim”. Seperti dinukil sebelumnya, ia daripada ayat 92 surah Ali Imraan. Penekanan Allah adalah seseorang individu Islam itu “tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna)” jika tidak dapat meletakkan dirinya dalam kasut orang miskin.
Kebajikan dan kebaktian sempurna ini tercermin dalam kisah Fatimah yang sedekah dan hubungannya sesama manusia amat diberkati dan tangisnya yang gusar jika-jika pemberiannya itu tidak diterima Allah sungguh sayu menyayat hati sehingga ke langit tinggi.
Hari ini kita sedap bernasyid, memaksa ummah supaya berkorban dan jadi rabbani agar negara harmoni. Yang menyuruh itu terlupa betapa nasib orang miskin sangat terseksa. Mak Cik Kiah sudah lama terduduk dan menganga.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.