
Tidak ada sesiapa memahami proses berfikir seorang Anwar Ibrahim apabila senarai baharu Kabinetnya diproklamirkan kelmarin. Satu perkara yang agak jelas ialah senarai baharu Kabinet ini tidak menggiurkan, malah meragukan, dan memaparkan kelemahan, khusus untuk berdepan pilihan raya umum yang dalam masa dua tahun sahaja lagi.
Kabinet ini tidak ada kepanglimaan untuk berdepan musuh politik yang kian melemah. Ia juga tidak ada kesaktian untuk membawa agenda reformasi. Ia bahkan menyimpan pemain-pemain tempang dan amat menempangkan kerajaan pimpinan seorang Anwar Ibrahim.
Seorang Anwar Ibrahim nampaknya tidak memperkirakan kekuatan sebenar di sebalik pelantikannya sebagai seorang perdana menteri. Kekuatan sejati itu bukan terletak pada partinya, PKR, yang meskipun belum lumpuh oleh luka yang dilakukan oleh soldadu perang perajuk seperti Rafizi Ramli; tetapi, untuk pembaca politik yang arif, kita semua mengetahui bahawa PKR bukan sangat parti bekerja. Tambahan pula PKR hari ini dipenuhi oleh kaki sembang yang bukan datang dari era reformasi. Ia bahkan bukan sebuah parti atau gerakan yang memiliki ideologi solid.
Pemain-pemain PKR di dalam Kabinet diketahui ramai prestasinya. Mungkin ada suara kecil mempertahankan mereka, tetapi suara itu amat kecil, sekecil semut hitam di malam gelap ketika bulan tiada, di luar lombong tinggal tidak jauh dari Tambun.
Dua bulan sebelum perubahan Kabinet ini dimasyhurkan kelmarin, seorang sasterawan negara membisikkan kekecewaan kepada saya, menyebut-nyebut nama dua menteri yang menurutnya ‘peruntuh’. Dua hari sebelum perubahan Kabinet ini diuar-uarkan seorang pakar bahasa yang banyak melakukan kerja reformasi pendidikan meluahkan kepada saya akan kehampaannya jika, salah seorang menteri di atas disimpan. Saya belum menghubungi beliau untuk mengetahui reaksinya.
Rata-rata pembaca politik yang arif mengetahui pemain dari Sabah dan Sarawak dalam Kabinet Anwar Ibrahim amat longgar. Malah sering disebut-sebutkan, pemain terbaik dari Sabah dan Sarawak tidak akan berada di Putrajaya atau Kuala Lumpur tetapi berada di sana.
Rata-rata pembaca politik yang bijaksana juga mengetahui menteri-menteri yang boleh berperanan untuk seorang Anwar Ibrahim beroleh kekuatan ketika pilihan raya kelak datangnya dari DAP, dan seorang dua dari Amanah yang disudutkan dalam pemilihan Kabinet ini.
Kabinet yang boleh bekerja misalnya diketahui dengan nama seperti Steven Sim yang cemerlang di Kementerian Sumber Manusia. Yang mana saya pernah tuliskan mengenai pencapaian beliau di dalam rencana lain di kolum ini (dan saya bangga ia bukan rencana berbayar oleh menteri tersebut). Kabinet yang boleh bekerja misalnya diketahui dengan nama seperti Hannah Yeoh yang cemerlang di Kementerian Belia dan Sukan. Yang mana kebetulan sekali nama beliau terpelanting ke kaki rumah usang menanti roboh di Kampung Baru, itu terjadi di tengah pencapaian melongokan atlet kita dalam Sukan SEA. Hannah malah berada di kerusi panas yang amat terik memandangkan menteri Wilayah Persekutuan juga berada di dalam Lembaga Pengampunan (anda faham apa yang saya maksudkan?).
Apa yang berlaku kepada wakil-wakil cemerlang DAP — yang boleh bekerja ini — adalah satu tragedi, satu kemalangan yang parah di simpang, dan satu kemusykilan yang dalam, iaitu, apakah proses berfikir seorang Anwar Ibrahim? Mengapakah mereka yang cemerlang ini tidak diperkasa dengan kemas? Tidakkah ini kemalangan yang parah, malah sejenis kemalangan langgar lari.
Di pihak Amanah, tidak semua wakil mereka di dalam Kabinet benar-benar menyerlah tetapi potensi yang boleh diketengahkan dan perlu digilap segera misalnya terdapat pada Adly Zahari yang nampaknya enggan digunakan sepenuhnya oleh seorang Anwar Ibrahim yang bakal mengetuai gerombolan perang dalam tempoh dua tahun lagi di pilihan raya umum mendatang. Mungkin Adly elok diredam?
Adly bukan sahaja pernah memimpin Melaka dengan cemerlang sebagai ketua menteri tetapi juga pernah menjawat peranan selaku exco agama di negeri selat itu. Manakala Aiman Athirah yang diketahui rajin itu kekal terbenam bawah ketiak Nga Kor Ming. Aiman, yang sewajarnya diberikan pengaruh lebih besar sesuai dengan peranannya sebagai ketua Wanita Pakatan Harapan, tidak diberi peluang yang sesuai dengan dirinya.
Penghinaan paling tidak wajar kepada kawan-kawannya adalah Anwar Ibrahim mengangkat seorang yang amat kontroversi, tidak ada pengalaman, dan pempengaruh sebagai timbalan menteri di portfolio keagamaan.
Ini bukan hujah Faisal Tehrani, tetapi boleh dibaca dari komentar masyarakat pembaca dan celik politik di luar sana. Kita akan lekas faham jika ada orang Abim diletakkan di tempat yang cocok sebagai seorang menteri agama, tetapi menyudutkan Amanah di sebalik awan yang terpilu dan sekadar di pinggiran tentulah bukan sesuatu yang nirmala.
Prestasi malang Pakatan Harapan di Sabah sepatutnya menjadi petunjuk besar untuk seorang Anwar Ibrahim agar berhati-hati melangkah. Untuk sekian kali perlu difahami yang kekuatan seorang panglima politik seharusnya terletak pada ramai mana penyokong setia. Dalam budaya politik orang Melayu, kekuasaan dan kesatrian terletak pada berapa ramai pengikut. Ini menjelaskan kepada kita kenapa bangsawan Melayu dahulukala tidak berasa apa menyerahkan jajahan kepada penjajah atau musuh, atau berundur dari wilayah pentadbiran.
Dalam budaya politik Melayu, ukuran kuasa terletak pada pengikut setia, yang sentiasa siap siaga untuk memperjuangkan nasib seisi ketumbukannya. Pengikut setia yang merupakan kekuatan sebenar Anwar Ibrahim adalah pada DAP dan Amanah yang sejak dua tiga tahun lepas makan hati terkulat di tepi melihat Umno semakin pulih dari demam.
Memang penuh tanda tanya mengapa seorang Anwar Ibrahim membuat langkah secetek ini. Memang terlalu jelas bahawa rombakan Kabinet ini kekurangan sesuatu yang sukar diungkapkan dengan penuh daya usaha intelektual.
Saya percaya pembaca politik yang arif, termasuk rakan-rakan siasah Anwar Ibrahim amat ngeri dengan ijtihad politiknya dalam penyusunan Kabinet ini. Apa yang amat ketara ialah untuk pembaca politik yang arif, Kabinet ini bukan sahaja kurang, malah tiada apa yang saya namakan sentuhan listrik.
Ia satu kesempatan yang dipersiakan. Perikatan Nasional memang super lemah, tetapi ketiadaan pemain yang bekerja dalam Kabinet Anwar Ibrahim benar-benar meletakkan seluruh penyokong Pakatan Harapan dalam kelemasan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.