
Katanya, Exco Pemuda, Azri Abdullah sepatutnya menyelidik sebelum mengkritik dengan melabelkan rombakan Kabinet Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebagai ‘pelempang kepada Amanah’.
Beliau mendakwa Azri dilihat kurang sopan dengan mencadangkan Timbalan Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa sebagai timbalan menteri hal ehwal agama sedangkan bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu mempunyai rekod cemerlang sebagai menteri di portfolio sama.
Menurutnya, sepanjang 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) bermula 2018 menyaksikan beliau menyelesaikan masalah serius Tabung Haji (TH).
Raja Kamarul berkata, jawatan dicadangkan Azri untuk Mujahid juga lebih rendah berbanding statusnya selaku timbalan presiden, bekas menteri dan senator, selain mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat agama di peringkat tempatan serta antarabangsa.
“Kenyataan Azri serta tuduhannya bahawa Anwar meminggirkan Amanah atau katanya ‘pelempang kepada Amanah’ dalam pelantikan jawatan menteri hal ehwal agama menunjukkan kurang kefahaman beliau terhadap protokol dan prosedur dalaman antara parti.
“Dari segi protokol, Anwar lazimnya akan bergantung kepada senarai calon menteri dikemukakan Amanah sendiri untuk dipertimbangkan,” katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, Azri wajar merujuk kepada pimpinan Amanah terlebih dahulu sama ada nama Mujahid dicalonkan sebelum menuduh parti itu dipinggirkan.
“Beliau wajar mengesahkan perkara itu dengan Amanah, memandangkan ramai tertanya-tanya mengapa Mujahid sebagai timbalan presiden dan tokoh politik agama Amanah yang paling menonjol sekali lagi tidak dilantik.
“Sedangkan ahli parti yang bukan lebih kanan dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan Madani yang sangat memerlukan seorang menteri agama berpengalaman menghadapi cabaran semasa.”
Semalam, Azri mempersoalkan pelantikan aktivis Marhamah Rosli sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) dan tiada wakil parti itu dalam portfolio terbabit.
Selain Mujahid, beliau mencadangkan Anwar melantik Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat atau Ketua Pemuda, Hasbie Muda ke jawatan terbabit.
Mujahid dan Hasbie adalah senator, manakala Suhaizan mewakili Parlimen Pulai.
Rombakan Kabinet kelmarin menyaksikan Na’im Mokhtar digugurkan sebagai menteri hal ehwal agama dan digantikan Timbalannya, Zulkifli Hasan.
Pemimpin Amanah yang kekal dengan portfolio masing-masing adalah Presiden Mohamad Sabu (menteri pertanian dan keterjaminan makanan) dan Naib Presiden Dzulkefly Ahmad (menteri kesihatan).
Manakala Naib Presiden, Adly Zahari (pertahanan) dan Ketua Wanita, Aiman Athirah Sabu (perumahan dan kerajaan tempatan) kekal sebagai timbalan menteri.