
Saban tahun Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berterusan mendedahkan kerugian jutaan ringgit disebabkan salah urus kewangan, kehilangan dana awam dan pembaziran.
Tahun ini berdasarkan pendedahan LKAN kepada Parlimen pada Oktober 2021, Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid mendedahkan kerugian RM620.07 juta disebabkan pembayaran luar biasa dan pembaziran dana awam.
Ini termasuk ketiadaan pengesahan dalam perolehan, penalti tidak dituntut dan pembekalan yang dibayar tetapi lewat diterima serta menyebabkan peralatan tidak dapat dipasang atau digunakan.
Bertahun-tahun masyarakat dipersembahkan dengan laporan salah urus dan pemborosan yang menyebabkan ketirisan tidak berkesudahan dalam perolehan awam. Sebagai contoh, LKAN Tahun 2012 mendedahkan sebuah agensi media kerajaan memperoleh 20 jam dinding dengan harga RM3,810 sebuah berbanding harga pasaran jauh lebih rendah iaitu RM100 setiap satu.
Pada tahun sama sejumlah 7,659 pasang kasut diperoleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan nilai perolehan berjumlah RM602,089. Malangnya, semua kasut terpaksa dilupuskan kerana saiz yang tidak menepati keperluan.
Dua tahun sebelumnya, LKAN turut mendedahkan tentang Majlis Sukan Negara yang membuat perolehan ke atas 23 ekor kuda baka khas untuk pertandingan dengan nilai perolehan RM5.66 juta.
Namun, hanya lima ekor kuda sahaja berjaya melepasi spesifikasi untuk menyertai pertandingan manakala baki 18 ekor yang lain gagal. Bayangkanlah, pembaziran dana awam yang berlaku dengan kesan kos melepas (opportunity kos) yang besar berbanding jika wang itu disalurkan kepada projek pembangunan lebih memberi impak serta manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Penelitian terhadap LKAN tahunan mendapati isu perolehan awam dilaporkan lazimnya melibatkan perolehan pada harga tidak munasabah, pembekalan barangan dan perkhidmatan tidak mematuhi spesifikasi atau terma serta syarat pembekalan ditetapkan, perolehan secara pecah kecil yang sengaja dibuat bertujuan menghindari tatacara kelulusan ditetapkan oleh peraturan kewangan serta `improper payment’ melibatkan pembayaran ke atas pembekalan belum dibuat.
Ada juga isu melibatkan elemen rasuah seperti penglibatan orang tengah dalam perolehan dan pengemukaan tuntutan bayaran mengandungi pernyataan palsu/silap/ tidak lengkap yang bertujuan untuk mengelirukan pihak prinsipal iaitu pegawai pengawal (pembayaran) di peringkat kementerian/ jabatan/ agensi terlibat.
Salah laku badan awam
Pembaziran dan salah urus menyebabkan kerugian dana awam sentiasa diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). SPRM turut menjalankan siasatan terhadap kes seumpamanya selagi ia melibatkan kesalahan tertakluk bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).
Namun, terdapat ketirisan dalam perolehan awam tidak bersifat jenayah (rasuah dan salah guna kuasa) kerana ia terjadi disebabkan salah urus atau kecuaian pegawai badan awam. .
Bagi kes disiasat SPRM pula, pendakwaan kes kebiasaannya melibatkan kesalahan memperdayakan prinsipal oleh ejen (kes tuntutan palsu) bawah Seksyen 18 Akta 694, selain Seksyen 23 Akta 694 bila ia membabitkan elemen salah guna jawatan/ kedudukan.
Ada juga hasil siasatan SPRM membawa kepada pengemukaan laporan SPRM kepada ketua perkhidmatan/ jabatan yang mengesyorkan agar suatu tindakan tatatertib bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395] atau tindakan surcaj bawah Akta Prosedur Kewangan 1957 dipertimbangkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib ke atas pegawai badan awam bertanggungjawab.
Kekurangan peruntukan undang-undang yang menjenayahkan pembaziran, kecuaian dan salah urus oleh pegawai badan awam khususnya dalam konteks perolehan awam yang membawa kepada ketirisan dana dilihat mengekang potensi pendakwaan dalam skop kesalahan lebih luas ke atas pegawai badan awam bertanggungjawab.
Jurang ini mencetuskan keperluan terhadap suatu peruntukan kesalahan baharu berhubung salah laku dalam kalangan pegawai awam dalam badan awam [Misconduct in Public Office (MIPO)] yang menyasarkan pegawai badan awam sebagaimana tafsiran undang-undang bawah Akta 694 .
Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan Salah Laku Pegawai Badan Awam (MIPO)
Di bawah NACP, penguatkuasaan undang-undang merupakan salah satu daripada enam bidang berisiko diberi tumpuan. Dalam strategi menginstitusikan kredibiliti agensi penguatkuasaan undang-undang, inisiatif 5.4.1 NACP menetapkan agar SPRM menerajui usaha memasukkan peruntukan baharu dalam undang-undang sedia ada berkaitan salah laku penjawat awam yang menyebabkan ketirisan dan kerugian dana Kerajaan secara sengaja.
Inisiatif 5.4 NACP ini senada dengan kehendak instrument antarabangsa seperti
Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Memerangi Rasuah [United Nations Convention Against Corruption (UNCAC)]. Artikel 17 dan Artikel 19 UNCAC masing-masing menyentuh tentang penjenayahan `embezzlement, misappropriation or other diversion of property by a public official’ dan `abuse of functions’ yang jelas menyokong hasrat pewujudan peruntukan baharu MIPO dalam menangani isu ketirisan dana dalam perolehan awam di Malaysia.
Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah pada Julai 2018 bersetuju agar SPRM melaksanakan kajian menyeluruh berhubung pewujudan peruntukan kesalahan baharu ini dengan skop merangkumi pegawai badan awam sebagaimana takrifan bawah Akta 694. Kajian komprehensif sedang dijalankan oleh SPRM ini mengambil pendekatan tanda aras undang-undang serta peraturan seumpamanya di negara lain seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Thailand, Hong Kong dan India.
Ini meliputi takrifan salah laku dan pegawai awam, skop penjenayahan salah laku, parameter pemakaian undang-undang tersebut ke atas pegawai perkhidmatan awam serta peruntukan berkaitan hukuman/penalti oleh negara tersebut.
Kajian SPRM ini turut melibatkan konsultasi bersama Jabatan Peguam Negara dan libat urus Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) khususnya dari aspek sokongan empirikal serta validasi pernyataan permasalahan penting dalam proses pembangunan rang undang-undang (RUU) berkaitan.
NACP 2019-2023 yang dilancarkan kerajaan pada Januari 2019 untuk mencapai aspirasi supaya ‘Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah’ adalah rangka kerja nasional dibangunkan untuk membawa transformasi menyeluruh kepada sistem tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, penguatkuasaan undang-undang, sistem undang-undang dan kehakiman dan tadbir urus korporat Malaysia dalam membentuk sebuah negara dan masyarakat berintegriti serta bebas rasuah.
Daripada 115 inisiatif terkandung dalam NACP, sebanyak 12 inisiatif diterajui SPRM, manakala baki 103 lagi diterajui oleh lain-lain kementerian/ jabatan/agensi.
Antara inisiatif lain dalam NACP diterajui SPRM adalah pemerkasaan SPRM melalui perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah (SPPR) yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan, bertujuan meningkatkan kebebasan serta keberkesanan SPRM dalam pelaksanaan fungsinya sebagaimana diperuntukkan bawah Akta 694.
SPRM turut diberi kepercayaan menerajui beberapa inisiatif lain serta membantu lain-lain agensi peneraju dalam pelaksanaan inisiatif bawah bidang keutamaan NACP seperti berikut:
- Tadbir urus politik
Bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan
- Pentadbiran sektor awam
Memperkasa perkhidmatan awam ke arah tadbir urus yang baik – menambahbaik keberkesanan pendidikan dan pembangunan profesional berterusan dalam kalangan pegawai awam melalui program berdasarkan kepada ‘Human Governance’
- Perolehan awam
Meningkatkan ketelusan perolehan awam, pengurangan risiko rasuah, penyelewengan pasaran dan anti-persaingan
- Penguatkuasaan undang-Undang
Menambah baik perundangan agensi penguatkuasaan (contohnya peruntukan perundangan baharu berhubung salah laku pegawai badan awam, perisytiharan harta anggota pentadbiran dan ahli Parlimen, penjualan kontrak kerajaan, perisytiharan pemilikan benefisiari dan lain-lain.)
NACP adalah refleksi kepada komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah seiring agenda memartabatkan tadbir urus baik serta tahap integriti tinggi dalam negara.
SPRM komited dalam memainkan peranannya dalam NACP dengan kerjasama ketua agensi peneraju dan agensi rakan strategik bagi memastikan kelangsungan pelaksanaan inisiatif akan memberi manfaat menyeluruh kepada pemegang taruh dalaman dan luaran.
Integriti negara dan rakyat
Namun, tanpa iltizam politik yang kuat dan berterusan dalam merealisasikan usaha penambahbaikan serta reformasi, cadangan hanya akan kekal sebagai cadangan. Kebebasan, ketelusan dan profesionalisme SPRM bukan sahaja perlu dilihat malah perlu turut dirasai dalam segala tindakan yang ia lakukan.
Tanpanya, perasuah dan pesalah laku menjadi lebih berani, seterusnya rasuah dan penyelewengan akan kian berleluasa di semua peringkat pentadbiran korporat dan awam. Integriti akan diketepikan dan salah guna kuasa akan menjadi budaya politik serta perniagaan.
Dalam pada itu, mereka yang berkuasa dan korup akan menguasai sumber negara, dan majoriti rakyat hanya akan mendapat sisa ditinggalkan oleh mereka.
Kesan ini boleh menyebabkan pembangunan Malaysia terbantut kerana amalan rasuah merampas sumber hak rakyat untuk pembangunan – sumber kewangan untuk perkembangan infrastruktur diperlukan seperti sekolah, hospital, jalan raya dan jambatan terutama di kawasan luar bandar dan sumber untuk membangunkan negara secara amnya.
Sementara itu, Transparency International Malaysia pada 28 Jan 2021 melaporkan kedudukan Malaysia dalam indeks persepsi rasuah (CPI) dunia bagi 2020 jatuh enam tangga, dengan ranking ke-57 (skor 53) berbanding 51 (skor 51) pada 2019, dalam kalangan 180 negara terlibat dalam kajian persepsi ini.
Dalam kalangan negara Asean pula, Malaysia mengekalkan rankingnya di tangga ke-3 di belakang Singapura [(3) dengan skor 85] dan Brunei [(35) dengan skor 60].
Penurunan kedudukan CPI ini berupaya menjejaskan prospek pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia, dan pengekalan pelaburan sedia ada jika ia diyakini memberi gambaran akan tahap anti-rasuah, governans dan integriti rendah di Malaysia.
Dalam jangka masa panjang, kemakmuran ekonomi Malaysia akan terjejas dan kesejahteraan rakyat akan turut tergugat oleh ‘domino effects’.
Malaysia diberkati Allah dengan kekayaan sumber alam melimpah ruah. Disokong oleh tahap pendidikan dan vokasional rakyat yang kompetitif di rantau Asia Pasifik, pengurusan sumber kekayaan ini seharusnya mampu memacu Malaysia ke arah kecemerlangan baik dari aspek pembangunan fizikal, spiritual, nilai dan juga integriti.
Keberkesanan membasmi gejala rasuah tidak bergantung kepada kekuatan dan kebebasan SPRM semata-mata. Setiap orang sepatutnya sedar bahawa tiada sesiapa yang kebal terhadap tindakan undang-undang, tidak kira di mana sahaja mereka berada di peringkat pemerintahan dan pentadbiran negara – legislatif, eksekutif mahupun kehakiman.
Natijahnya, reformasi dalam pencegahan rasuah tidak terhad kepada penguatkuasaan sahaja, tetapi pendidikan pada tahap paling asas, bermula dari bangku sekolah. Integriti, nilai keagamaan dan etika, jati diri dan pemerkasaan identiti individu serta partiotisme adalah nilai perlu diterap dari kecil.
Apabila integriti diraikan dan dimartabatkan, bukannya keagungan terhadap wang dan kuasa, waktu itulah kita boleh berbangga dengan negara dan rakyat yang berpegang teguh kepada integriti dan bertoleransi sifar terhadap rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Penulis ialah pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.