
Jusit Rantai, mungkin bukan tokoh sebesar Mohd Fuad Stephens dalam memperjuangkan kemerdekaan Sabah yang membawa kepada pembentukan Malaysia, hampir 61 tahun lalu. Namun, beliau ada sumbangan antaranya menaikkan bendera Malaysia buat kali pertama di Negeri di Bawah Bayu itu pada 16 Sept 1963.
Dalam beberapa artikel di media, polis berpangkat sarjan berasal dari daerah kecil di pedalaman Sook itu cukup teruja dengan gabungan Sabah, Sarawak, Tanah Melayu (kini dikenali Semenanjung Malaysia) dan Singapura (negara itu keluar dari Malaysia dua tahun kemudian).
Jusit yang kisahnya disiarkan di biografi “Land Below The Wind” tulisan Agnes Newton Keith dari Amerika Syarikat, percaya pembentukan negara lebih kuat dapat memberi manfaat terutama untuk membangunkan negerinya. Begitulah juga harapan yang lain apabila Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dimeterai pada 9 Julai tahun itu di London.
Harapan mereka bukan hanya hak dipelihara tetapi paling penting kesaksamaan pembangunan yang kini dapat dilihat hasilnya walaupun diakui masih ada “kekosongan” boleh diisi pada masa depan terutama dari segi kemajuan kemudahan asas.
Sebelum ini, isu seperti jalan rosak, masalah bekalan air dan elektrik, sekolah daif dan khidmat kesihatan kurang memuaskan sering dikaitkan kegagalan persekutuan menyalurkan dana mencukupi menyebabkan Sabah dan Sarawak ketinggalan berbanding Semenanjung, turut menimbulkan stigma terhadap MA63.
Kepentingan MA63 turut ditekankan dalam titah pertama Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong di Parlimen pada 26 Feb lalu. Baginda berharap perjanjian dimeterai itu dapat dimanfaatkan semua pihak dalam memenuhi hasrat serta aspirasi demi kemakmuran bersama.
Baginda turut berpuas hati dengan langkah dilaksanakan kerajaan dalam menyelesaikan perkara berkaitan MA63. Mengimbas semula beberapa tahun kebelakangan ini, dimensi baharu kepadanya dapat dilihat apabila Dewan Rakyat meluluskan RUU pindaan Perlembagaan berkaitannya pada 14 Dis 2021.
Perkara pertama diluluskan Putrajaya ialah mengembalikan status Sarawak dan Sabah sebagai rakan kongsi. Kedua, Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan yang dipinda khususnya pindaan kepada tafsiran ungkapan “Persekutuan” dalam Perlembagaan Persekutuan yang menggabungkan MA63 dan lampirannya sebagai sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.
Sejak pindaan itu diluluskan, banyak tuntutan diterima pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Antaranya pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai jabatan teknikal mengikut Arahan Perbendaharaan 182 yang memberi kuasa bagi mentadbir projek pembangunan persekutuan bernilai tidak lebih RM50 juta.
Selain itu, Sarawak pula diberi kuasa menentukan tafsiran anak negeri. Di Sabah, kerajaan negeri berkenaan mengambil alih kuasa kawal selia tenaga dan bekalan elektrik daripada Putrajaya. Ia penting untuk menyelesaikan isu gangguan air dan elektrik, antara permasalahan utama di negeri itu.
Senarai panjang itu turut meliputi geran khas RM300 juta untuk Sarawak dan RM260 juta bagi Sabah sementara memuktamadkan kaedah terbaik untuk dua per lima atau 20% serta proses pengagihan kuasa merangkumi soal kesihatan, pendidikan, pekerjaan dan perindustrian.
“Ini menunjukkan komitmen Anwar untuk memastikan pelaksanaan MA63 direalisasikan secara tuntas,” kata Lee Kuok Tiong, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Namun, harus diakui bukan mudah mempercepatkan proses itu. Selain rundingan bawah jawatankuasa diketuai Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof ia juga perlu melalui Jemaah Menteri, draf pindaan terhadap undang-undang berkaitan dan undian persetujuan dua pertiga di Parlimen.
Ada tiga jawatankuasa penting iaitu Jawatankuasa Urusetia MA63, Jawatankuasa Teknikal MA63 dan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang bertanggungjawab meneliti semua isu perundangan dan teknikal terbabit.
Komitmen Putrajaya melaksanakan perjanjian bawah MA63 juga membantu menstabilkan politik yang suhunya tidak menentu pasca PRU15. Hampir semua parti menyokong di bawah kerajaan perpaduan sekali gus mengelakkan usaha menjatuhkannya.
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Abang Johari Openg menyatakan gabungan itu akan terus menyokong pentadbiran Anwar hingga PRU seterusnya. “Kami memberi anda (Anwar) sokongan penuh dan memiliki kerajaan persekutuan stabil hingga pilihan raya seterusnya,” kata premier Sarawak pada 16 Sept tahun lalu ketika sambutan Hari Malaysia 2023.
Hajiji Noor, ketua menteri Sabah yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah turut menyuarakan nada sama kerana mahu kestabilan. Suara-suara ini pastinya mematikan ura-ura pertukaran kerajaan bertiup kencang penghujung tahun lalu, antaranya dakwaan kewujudan Langkah Dubai.
Seperti disuarakan Sultan Ibrahim dan Jusit, harapan mereka pemeteraian MA63 mampu memanfaatkan semua pihak untuk memenuhi aspirasi semua. Tiba masa untuk Putrajaya dan pentadbir Sabah serta Sarawak memastikan kelancarannya.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.