
Sidang Kemuncak Asean ke-47 berlangsung di Kuala Lumpur dari 25 hingga 28 Okt lalu telah menjadi medan penting bagi memperkukuh hubungan antara Kanada, Malaysia dan rantau ini.
Kehadiran Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, atas jemputan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, mencerminkan keazaman baharu Kanada untuk menjadi rakan strategik jangka panjang kepada Asean.
Lawatan kerja rasmi ini membuka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi, perdagangan, tenaga dan teknologi antara kedua-dua negara serta memperkukuh dialog Kanada–Asean secara menyeluruh.
Lawatan Carney ke Malaysia merupakan yang pertama sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Kanada pada Mac lalu. Kehadirannya dalam Sidang Kemuncak Asean ke-47 sebagai Guest of the Chair memperlihatkan pendekatan diplomasi aktif Kanada terhadap rantau Indo-Pasifik.
Carney memilih Malaysia sebagai destinasi pertama lawatan rasmi ke Asia kerana Malaysia dilihat sebagai pintu masuk strategik ke rantau Asean, yang kini menjadi pasaran kedua terbesar bagi Kanada selepas Amerika Syarikat.
Dengan hampir 700 juta pengguna dan nilai pasaran melebihi USD5 trilion, Asean kini menjadi nadi utama kepada misi Kanada untuk ‘menggandakan eksport bukan Amerika Syarikat dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.’
Beliau menyifatkan inisiatif tersebut sebagai misi nasional untuk menjana tambahan USD300 bilion dalam perdagangan antarabangsa di samping mengurangkan kebergantungan ekonomi kepada satu pasaran utama.
Salah satu hasil penting daripada lawatan ini ialah pemeteraian Surat Hasrat (Letter of Intent) antara kerajaan Kanada dan Malaysia bagi memperkukuh pelaburan dalam bidang tenaga, termasuk gas asli cecair (LNG), minyak, tenaga nuklear dan tenaga boleh diperbaharui.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin menegaskan bahawa kerjasama ini bukan sekadar urusan komersial, tetapi satu langkah strategik untuk menjamin keselamatan tenaga global yang mampan dan lestari.
Dalam sidang medianya, Carney menyatakan: “Hari ini, Kanada dan Malaysia telah menandatangani Surat Hasrat untuk memperkukuh pelaburan dalam bidang gas asli cecair, minyak, tenaga nuklear dan tenaga boleh diperbaharui.
“Kami sedang meneroka peluang bersama untuk mengukuhkan peranan Kanada sebagai pembekal tenaga yang boleh dipercayai, sambil membantu Asean mencapai peralihan tenaga bersihnya,” katanya.
Beliau turut mendedahkan syarikat tenaga nasional Malaysia, Petronas, akan terus memainkan peranan utama dalam projek LNG Canada Fasa 2 di Kitimat, British Columbia, yang bakal menjadi kemudahan gas asli cecair kedua terbesar di dunia.
Menurut Carney, pelaksanaan fasa kedua projek tersebut akan menggandakan kapasiti pengeluaran dan mewujudkan “puluhan ribu pekerjaan baharu dengan gaji tinggi di Kanada,” di samping memperkukuh peranan Malaysia sebagai pelabur strategik dalam sektor tenaga Kanada.
Selain sektor tenaga, Kanada turut mengumumkan pelaburan strategik dalam bidang teknologi, termasuk keselamatan siber dan inovasi digital.
Carney mengumumkan bahawa kerajaan Kanada telah memperuntukkan sebanyak CAD226,000 (kira-kira RM1 juta) untuk memperluas Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber BlackBerry di Cyberjaya sebagai hab antarabangsa bagi kecerdasan siber dan inovasi keselamatan digital.
Beliau menegaskan bahawa langkah ini akan “menjadikan Malaysia sebagai hab keselamatan siber serantau serta rakan inovasi yang dipercayai bagi Kanada.”
Selain itu, Carney turut melawat kemudahan latihan Canadian Aviation Electronics (CAE) di Kuala Lumpur, di mana Malaysia Airlines menandatangani perjanjian pembelian simulator penerbangan buatan Kanada.
Beliau juga mengadakan pertemuan dengan pengurusan AirAsia bagi membincangkan potensi pembelian pesawat A220 yang direka dan dibina di Quebec.
Langkah-langkah ini membuktikan bahawa hubungan Kanada–Malaysia kini berkembang melangkaui diplomasi politik ke arah kolaborasi industri, teknologi dan penerbangan yang lebih luas serta berimpak tinggi.
Dari segi ekonomi, hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kanada menunjukkan peningkatan ketara. Pada tahun 2024, jumlah dagangan dua hala mencapai RM11.32 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 33.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Momentum positif ini diteruskan pada suku pertama 2025 dengan jumlah dagangan mencecah RM3.26 bilion, meningkat 38.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024.
Carney menekankan pencapaian ini membuktikan potensi besar dalam hubungan ekonomi kedua-dua negara.
Beliau menegaskan: “Apabila kekuatan ekonomi kita digabungkan dengan dasar pertumbuhan dalam Belanjawan yang akan datang, para pelabur akan mempunyai keyakinan untuk membina masa depan di Kanada — dan rakan kongsi kami seperti Malaysia akan menjadi sebahagian daripada bab baharu kemakmuran bersama ini.”
Dalam pertemuan dua hala, kedua-dua pemimpin turut bersetuju untuk mempercepatkan rundingan Canada–ASEAN Free Trade Agreement (FTA) yang dijangka disempurnakan menjelang tahun 2026.
Perjanjian ini bakal membuka akses kepada pasaran serantau ASEAN dan menambah nilai lebih USD1.5 bilion kepada ekonomi Kanada.
Malaysia dilihat sebagai rakan utama dalam rundingan tersebut, berdasarkan peranan aktifnya dalam memperkukuh integrasi ekonomi serantau di bawah kepengerusian Asean 2025.
Dalam pertemuan dua hala itu juga, Anwar menegaskan bahawa Malaysia dan Kanada komited memperkukuh kerjasama ekonomi dalam pelbagai bidang termasuk tenaga hijau, inovasi teknologi dan pendidikan sejajar dengan matlamat pembangunan mampan rantau ini.
Beliau turut menyorot kerjasama strategik antara PETRONAS dan Kanada dalam projek LNG di Kitimat, British Columbia sebagai contoh nyata kepercayaan bersama dan keserasian komersial antara kedua-dua negara.
Ringkasnya, Sidang Kemuncak Asean ke-47 ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai penghubung utama antara Asia Tenggara dan Amerika Utara, tetapi juga menandakan permulaan era baharu kerjasama rentas benua yang berasaskan kepercayaan, kemampanan dan kemakmuran bersama seiring dengan semangat Malaysia MADANI dan visi Kanada untuk membina ekonomi global yang lebih inklusif serta berdaya tahan.
Nurul Amellya Azhar ialah pelajar kedoktoran dalam bidang Ekonomi Politik Antarabangsa di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.