
Pada 17 November 2025, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu meluluskan Resolusi 2803 yang menubuhkan Gaza trusteeship di Gaza — lembaga pemegang amanah, bersama pengumuman ‘gencatan senjata’ yang disambut baik oleh masyarakat dunia, namun ramai tidak menyedari implikasi yang lebih mendalam dan menyeluruh terhadap rakyat Palestin.
Gencatan senjata yang kononnya dialu-alukan itu — dan tidak dipatuhi sepenuhnya oleh Israel — menutup niat tersembunyi yang licik dalam bentuk trusteeship tersebut, bersama penubuhan Board of Peace — lembaga keamanan, yang dipengerusikan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, ditadbir oleh bekas perdana menteri Britain Tony Blair, dan dianggotai tokoh-tokoh Barat yang lain.
Seperti yang dinyatakan Ralph Wild, profesor undang-undang antarabangsa di Fakulti Undang-Undang, University College London, trusteeship ini berdasarkan tradisi Barat untuk amalan penjajahan Barat kelihatan lebih berperikemanusiaan. Trusteeship ini kononnya akan menggantikan lebih setengah abad pemerintahan brutal Israel yang berakar pada diskriminasi kaum, apartheid dan pembunuhan beramai-ramai.
Sesebuah trusteeship lazimnya menggambarkan rakyat yang dianggap seperti ‘kanak-kanak’ dan tidak mampu mengurus diri, manakala pentadbirnya pula ‘lebih dewasa’ seperti Trump, Blair dan pemimpin Barat lain. Ini jelas satu tindakan rasis yang memalukan dan menghina, kerana kita tahu rakyat Palestin ialah masyarakat yang sangat tahan lasak, pintar dan mampu mentadbir dengan kehadiran rakyat Palestin berkelulusan tinggi di seluruh dunia.
Pemilihan Blair sebagai ikon campur tangan liberal Barat, dengan latar belakang pengalaman penjajahan British dan Eropah di Afrika dan Arab bawah sistem trusteeship kononnya ke atas masyarakat yang tidak mampu mengurus diri, dilihat sangat ‘sesuai’.
Seperti yang dijelaskan oleh Profesor Ralph Wild, inilah tradisi Barat dalam ‘membuat penjajahan kelihatan seolah lebih berperikemanusiaan’ yang digunakan Eropah terhadap Afrika pada Persidangan Berlin abad ke-19, kemudian oleh Liga Negara-negara (League of Nations) selepas Perang Dunia Pertama, dan seterusnya oleh PBB selepas Perang Dunia Kedua. Maka tradisi penjajahan itu berterusan hingga ke hari ini.
Ketika negara-negara Barat kononnya memperjuangkan pembebasan wanita di Afghanistan dan bertekad ‘membebaskan’ China daripada komunisme, mereka pada masa sama mengenakan penjajahan moden dalam bentuk trusteeship yang diselimuti nama indah Board of Peace di Gaza.
Sebelum trusteeship kolonial itu ditubuhkan, Zionis Israel lebih awal menyediakan rangka kerja terperinci untuk menghancurkan struktur masyarakat Gaza mengikut strategi klasik penjajah iaitu pecah dan perintah.
Sebelum pengumuman gencatan senjata pada 10 Oktober 2025, tentera Israel telah pun “membahagikan” Gaza kepada Zon Hijau dikawal tentera Israel dan Zon Merah tempat pelarian Palestin dipindahkan dan ditempatkan. Kedua-dua zon dipisahkan oleh ‘garisan kuning’ yang tidak kelihatan serta kabur dan arbitrari, di mana rakyat Palestin yang keliru ditembak setiap hari kerana melintasinya.
Taktik ini adalah salinan langsung strategi pecah dan perintah British-Eropah. Kerja jahat yang terancang ini diperkukuh dengan pembekalan senjata kepada militia tempatan yang bermusuhan untuk melawan Hamas, yang akan memecah-belahkan Gaza menjadi banyak enklaf berasingan.
Terhasilnya komuniti kecil yang berpecah ini menyerupai tindakan kolonial British di Tanah Melayu, yang mewujudkan ‘kampung baru’ untuk mengekang dan mengasingkan gerila antikolonial pada 1950-an. Hal yang sama berlaku apabila AS menubuhkan strategic hamlets di Vietnam pada 1960-an. Semua ini dirancang terlebih dahulu oleh Israel dan bakal penjajah Barat yang memasuki Gaza sebagai anggota Board of Peace.
Tanpa orang tengah yang benar-benar jujur-ikhlas untuk bekerja ke arah keamanan sebenar — dan selagi AS yang dipengaruhi Zionis serta British yang menjadi arkitek asal penubuhan Israel melalui Deklarasi Balfour terus memegang naratif — Palestin tidak akan bebas.
Kami mendesak kerajaan Malaysia dan negara-negara Islam lain — yang semuanya pernah menjadi mangsa penjajahan — untuk bertindak, membetulkan atau sekurang-kurangnya mengurangkan penderitaan rakyat Palestin akibat konspirasi untuk memecah-belah Gaza dan meneruskan penjajahan yang kejam oleh kuasa besar kolonial Barat, yang kini menjejak kaki ke Gaza bersama Zionis Israel.
Raja Kamarul Bahrin Shah adalah pengerusi biro antarabangsa Parti Amanah Negara.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.