Salur lebih banyak peruntukan atau beri hak kewangan kepada Sabah, kata Jeffrey

Salur lebih banyak peruntukan atau beri hak kewangan kepada Sabah, kata Jeffrey

Sekiranya kerajaan pusat memberi hak kewangan, Sabah mungkin mempunyai dana yang cukup untuk menyelesaikan beberapa masalah di Sabah terutama banjir.

Jeffrey (tengah) melawat peniaga terjejas akibat banjir di pekan Tenghilan di Tuaran, semalam. (Gambar Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah)
KOTA KINABALU:
Timbalan ketua menteri Jeffrey Kitingan meminta kerajaan pusat menyalurkan lebih banyak peruntukan atau memberi hak kewangan kepada kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah banjir yang semakin membimbangkan.

Beliau yang juga menteri pertanian dan perikanan Sabah berkata, jika kerajaan pusat memberi hak kewangan kepada kerajaan yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS), negeri itu mungkin mempunyai dana yang cukup untuk menyelesaikan beberapa masalah di Sabah terutama banjir.

“Sebagai contoh dengan mengembalikan 40% daripada pendapatan bersih negeri ini seperti dinyatakan dalam Jadual 10, Artikel 112 Perlembagaan Persekutuan, memungut 5% cukai jualan ke atas produk petroleum dan mungkin memberi kita 5% daripada pembayaran tunai yang diterima pihak persekutuan mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974.

“Kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk melakukan banyak perkara namun dana untuk pembangunan besar berada dalam senarai serentak dan oleh itu, Sabah masih bergantung kepada kerajaan persekutuan.

“Jika lebih banyak peruntukan atau hak kewangan tidak diberikan kepada Sabah, kita akan selamanya meminta wang (daripada kerajaan pusat) untuk menyelesaikan masalah banjir di Sabah, namun jika wang tambahan ini diberikan, ia akan menambah kemampuan kita untuk menangani masalah banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga presiden STAR, mengunjungi beberapa kawasan dilanda banjir berikutan hujan lebat semalam.

Jeffrey berkata, beliau turut berpuas hati dengan kerja dilakukan bagi menangani masalah banjir di negeri itu dengan peruntukan RM3 bilion sudah disalurkan.

“Kita perlu melakukan kerja ini secara komprehensif, bukannya secara ‘ala kadar’, kerana ia hanya akan mengakibatkan kita mengejar masalah daripada mengatasinya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.