
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) itu melibatkan 544 unit kediaman melibatkan 4,629 penduduk, bermula 24 Okt hingga 6 Nov.
Kawalan ketat ini bagi memudahkan pelaksanakan saringan dan kawalan pergerakan keluar masuk.
Sementara itu, kawalan turut diperketatkan di 5 penjara di utara Semenanjung dan 3 penjara di Selangor, susulan penularan Covid-19.
Di utara Semenanjung, PKPD diumumkan di Pusat Koreksional Perlis, Penjara Sungai Petani (Kedah), Penjara Taiping (Perak), Pusat Koreksional Kamunting (Perak), dan Penjara Tapah (Perak).
Di Selangor, PKPD diumumkan di Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Kajang, dan Penjara Wanita Kajang.
Berkuatkuasa 22 Okt sehingga 4 Nov, ia turut melibatkan kuarters kakitangan penjara.
Antara SOP bagi penjara ini adalah pergerakan keluar masuk tidak dibenarkan, termasuk lawatan ahli keluarga tahanan.
“Pergerakan kakitangan penjara ditentukan berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia. Tahanan yang akan dibebaskan semasa tempoh PKPD akan diasingkan daripada tahanan yang lain,” katanya.
Ismail turut memaklumkan PKPD di 6 buah kampung di daerah Semporna dan Kunak yang sepatutnya tamat Sabtu ini akan disambung hingga 6 Nov.
Enam penempatan itu adalah Kampung Bangau-Bangau, Kampung Panji, Kampung Selamat, Kampung Simunul, Kampung Pinggir Bandar di Semporna, dan Kampung Pengkalan di Kunak.
“Lanjutan ini membolehkan saringan ke-2 dilakukan terhadap penduduk di perkampungan itu,” katanya.