
Noor Hisham dalam kenyataan berkata, susulan peningkatan itu, kes aktif Covid-19 di Labuan adalah sebanyak 243 kes dan dijangka mencecah lebih 300 kes susulan program saringan bersasar yang giat dijalankan oleh petugas kesihatan.
Disebabkan itu menurut Noor Hisham, persediaan yang khusus sudah dilakukan, seperti membuka pusat rawatan Covid-19 dengan tambahan kapasiti katil untuk individu yang memerlukan.
“Bagi menampung jumlah kes yang tinggi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan berjaya membuka pusat rawatan Covid-19 berisiko rendah ke-2 di Dewan Perbadanan Labuan dengan kapasiti 140 katil dalam masa 24 jam.
“Ini menjadikan keupayaan rawatan Covid-19 di Labuan menjadi 317 katil dalam satu-satu masa. Pusat ini akan beroperasi sepenuhnya pada hari ini, iaitu 29 Okt,” katanya hari ini.
Menurutnya, pusat itu adalah hasil kerjasama dan rundingan JKWP Labuan bersama agensi di Labuan, termasuk Majlis Keselamatan Negeri (MKN), polis, Institut Latihan Perindustrian dan Perbadanan Labuan.
Beliau berkata, ia turut melibatkan badan bukan kerajaan seperti Taiwan Buddist Tzu-Chi Foundation Malaysia , Crest Mutiara Billion Sdb Bhd dan orang perseorangan.