
KKM dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, walaupun sistem janji temu adalah kaedah utama, ruang untuk pesakit ‘walk-in’ tetap disediakan, khususnya bagi kes kecemasan, warga emas, dan golongan yang mempunyai kekangan akses teknologi.
“Pesakit tanpa janji temu tetap dilayan namun perlu melalui proses penilaian (triage) terlebih dahulu. Pesakit yang mempunyai janji temu diberikan keutamaan mengikut slot masa ditetapkan.
“KKM amat memahami bahawa akses teknologi adalah berbeza bagi setiap individu. Oleh itu, perkhidmatan ‘walk-in’ tetap diteruskan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat akses rawatan yang adil dan saksama,” katanya.
Terdahulu, tular satu mesej di media sosial mendakwa semua klinik kesihatan tidak lagi menerima pesakit secara ‘walk-in’ bermula Januari tahun ini.
Menurut mesej berkenaan, semua pesakit perlu membuat janji temu di aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan.