
Antara pimpinan yang tiba di kementerian berkenaan di sini sejak jam 2.30 petang tadi ialah pemimpin PKR seperti Saifuddin Nasution, Wong Chen, Akmal Nasir dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Pimpinan DAP seperti Lim Guan Eng, Ong Kian Ming dan Tony Pua juga hadir. Manakala pemimpin Amanah, iaitu Mohamad Sabu dan Dzulkefly Ahmad turut dilihat hadir.
Pertemuan dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz itu dijangka bermula jam 3 hingga 5 petang.
Ahli Parlimen Subang mewakili PKR, Wong Chen berkata 4 pimpinan PKR hadir dalam pertemuan hari ini.
Katanya, mereka mempunyai 6 cadangan yang bakal dikemukan dan akan membuat kenyataan mengenainya apabila selesai perjumpaan dengan menteri.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan cadangan itu kepada media.
Pada 29 Okt, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin harus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dengan mengadakan perbincangan dan rundingan segera dengan pihak pembangkang berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum dibentangkan di Parlimen.
Majlis Presiden PH berkata, ia bertujuan mencapai objektif yang diingini oleh Agong.
Katanya, PH yakin semua ahli Parlimen akan terlibat dalam sesi perbahasan yang sihat untuk memastikan Belanjawan 2021 mengutamakan kepentingan negara dan rakyat serta menepati aspirasi yang dititah oleh Sultan Abdullah.
Pada 28 Okt, Agong menyeru ahli Dewan Rakyat menghormati nasihat meminta perbalahan politik dihentikan dan mengutamakan kebajikan rakyat supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.
Katanya, belanjawan adalah penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa untuk meneruskan dasar serta usaha menangani Covid-19.