Putrajaya rancang bina rezab air atasi gangguan bekalan

Putrajaya rancang bina rezab air atasi gangguan bekalan

Kerajaan juga merancang membina kolam takungan bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan masalah gangguan air.

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Putrajaya tidak bercadang membayar pampasan kepada pengguna yang terjejas dengan gangguan bekalan air akibat pencemaran sungai.
PETALING JAYA:
Putrajaya merancang untuk meningkatkan kapasiti air terawat dengan menyediakan rezab margin yang boleh menampung bekalan air selama 3 hari jika berlaku pencemaran sungai, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, pihaknya turut merancang pembinaan kolam takungan bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan masalah gangguan air, seperti yang berlaku di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

“Bila tidak ada air pun, loji kita masih boleh menampung 3 hari dan pengguna tidak terganggu.

“Kedua adalah takungan, kita wujudkan satu takungan yang boleh menampung selama 2 minggu, sekiranya punca air habis. Jika rezab habis, kita masih ada takungan supaya pengguna tidak terganggu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Bharu) apakah Putrajaya mempunyai rancangan untuk membayar pampasan kepada pengguna terjejas akibat gangguan bekalan air.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya tidak melihat terdapat keperluan alternatif untuk membayar pampasan kepada pengguna yang mengalami gangguan bekalan air akibat pencemaran sungai.

“Akta kita sekarang ini tidak melibatkan ganti rugi kepada pengguna. Kita fikir cara hendak selesaikan bila berlaku pencemaran dan pengguna juga tidak terkesan.”

Pada 28 Okt lalu, polis membuka kertas siasatan ke atas satu laporan pencemaran sungai di Kampung Baru Balakong, Selangor, yang disyaki terdapat unsur sabotaj.

September lalu, hampir 1.2 juta akaun pengguna di Kuala Lumpur dan Selangor berdepan gangguan bekalan air akibat pencemaran sungai.

Ia disusuli lebih 1.1 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat berdepan masalah sama buat kali ke-2 akibat pencemaran sungai pada bulan lalu.

Sementara itu, Hasan Arifin (BN-Rompin) bertanya jika Putrajaya akan meminda akta berkaitan untuk memastikan hukuman penjara mandatori bagi mereka yang didapati mencemarkan sungai.

Tuan Ibrahim berkata, kerajaan tidak bercadang berbuat demikian, tetapi denda ketika ini sebanyak RM100,000 mungkin dinaikkan kepada RM1 juta dan hukuman penjara mungkin dinaikkan dari setahun kepada 15 tahun.

“Ini untuk mencegah pencemaran sungai.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.