
Menteri Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pandemik menyebabkan keperlahanan ekonomi ketika usaha melawan penularan Covid-19 belum berakhir.
“Oleh itu, Sarawak berpuas hati dengan apa sahaja (peruntukan) yang diberikan dan isu Sarawak dianaktirikan tidak seharusnya timbul,” katanya.
Bagi 2021, Sarawak akan menerima peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM4.5 bilion, antaranya untuk membina dan menaik taraf prasarana air, elektrik, jalan raya, kemudahan kesihatan, dan pendidikan.
Putrajaya juga akan memperluaskan perkhidmatan bank bergerak di Sarawak, melaksanakan projek pembinaan dan pemasangan bekalan air telaga tiub baharu bagi sekolah luar bandar, dan penambahbaikan prasarana dan mempergiat promosi kampung budaya.
Putrajaya juga akan meneruskan projek prasarana di Kawasan Perindustrian Samalaju bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak, memperkenalkan semula subsidi baja padi bukit, dan melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming.
Abdul Karim berpesan semua ahli Parlimen patut ketepikan perbezaan politik dan sokong belanjawan persekutuan ketika negara dan rakyat berdepan ketidaktentuan akibat Covid-19.