PKPB di seluruh Semenanjung kecuali Perlis, Pahang, Kelantan 9 Nov

PKPB di seluruh Semenanjung kecuali Perlis, Pahang, Kelantan 9 Nov

PKPB itu dilaksanakan untuk tempoh 4 minggu bermula 9 Nov hingga 6 Dis depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata hanya Perlis, Pahang dan Kelantan dikecualikan daripada PKPB.
PETALING JAYA:
Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, ia dilaksanakan untuk tempoh 4 minggu bermula 9 November hingga 6 Disember ini.

Katanya, ia selepas mendapat penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan peningkatan ketara kes Covid-19.

“Pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti selain mengekang penularan Covid-19 di negeri ini.

“SOP bagi PKPB ini sama seperti yang diumumkan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, pergerakan keluar masuk atau merentas daerah dan negeri tidak dibenarkan kecuali bagi kes kecemasan dan perlu mendapat kebenaran polis.

“Bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran majikan. Hanya 2 orang sahaja dari rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.

“Manakala, individu berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak. Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz ditutup,” katanya.

Ismail berkata, bagi Perlis, Pahang dan Kelantan yang kini bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan, namun pergerakan rentas daerah dalam ketiga-tiga negeri dibenarkan seperti biasa.

“Bagi Sarawak, pergerakan rentas dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran polis. Bagaimanapun, pergerakan rentas daerah dalam Sarawak dibenarkan kecuali ke daerah Kuching,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.