
Beliau berkata, tempoh selama 8 hari diperuntukkan kepada ahli Parlimen membahaskan inti pati Belanjawan 2021 di peringkat dasar manakala 11 hari lagi untuk perbahasan di peringkat jawatankuasa.
“Jadi sampai 15 Disember ini, ahli Parlimen bebas untuk membahaskan belanjawan ini,” katanya kepada pemberita selepas bertemu menteri besar Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan peruntukan besar kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang disifatkan sebagai pembaziran.
Katanya, bagaimanapun Belanjawan 2021 dilihat sebagai belanjawan yang “luar biasa”, sesuai dengan norma baharu dan perlu diterima oleh semua pihak.
Setiausaha agung PAS itu berkata, tidak ada sebab untuk mana-mana pihak menolak Belanjawan 2021 kerana apa yang terkandung di dalamnya tidak boleh sama sekali dibandingkan dengan belanjawan sebelum ini.
“Bajet ini tidak boleh dibanding dengan bajet waktu biasa (sebelum pandemik) kerana sekarang keutamaan kerajaan bukan sahaja kepada hidup tapi kehidupan, ia melibatkan ekonomi dan sebagainya, jadi banyak yang berbentuk bantuan dan memang kita tak harap dapat pulangan daripadanya,” katanya.
Semalam, Pemuda PKR Sabah meluahkan rasa terkilan apabila Jasa diwujudkan semula dengan pemberian peruntukan sehingga 270% lebih daripada peruntukan dahulu di era pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin dilaporkan berkata peruntukan kepada Jasa itu dilihat sebagai pembaziran ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.