
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) yang melakukan penilaian risiko jangkitan.
“Sehingga 6 November KKM melaksanakan 731 saringan dan 87 kes kumulatif positif direkodkan. Daripada jumlah itu, sebanyak 64 kes positif sembuh sepenuhnya dan baki 23 kes aktif sedang menerima rawatan.
“Atas nasihat dan penilaian risiko dilaksanakan KKM, mesyuarat teknikal hari ini bersetuju menamatkan PKPD di Taman Mawar, Sandakan hari ini, 10 November 2020 sebagaimana dijadualkan,” katanya pada sidang media hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ismail berkata kerajaan melanjutkan PKPD Taman Mesra, Sandakan, Sabah, 14 hari lagi hingga 24 November ini.
“KKM melaksanakan 1,124 saringan dan 134 kes kumulatif positif direkodkan. Daripada jumlah itu, 43 kes sembuh sepenuhnya dan masih terdapat 91 kes aktif di kawasan ini,” katanya.
PKPD Taman Mawar dan Taman Mesra bemula 28 Oktober lalu.
Sementara itu, Ismail berkata seramai 341 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan semalam.
“Daripada jumlah itu, 307 individu dikompaun manakala 33 direman dan seorang dijamin,” katanya.