Dewan Rakyat kecoh selepas ahli Parlimen Bintulu dakwa KP kesihatan ‘takut mati’

Dewan Rakyat kecoh selepas ahli Parlimen Bintulu dakwa KP kesihatan ‘takut mati’

Ahli Parlimen DAP, RSN Rayer diarahkan keluar dewan ketika beliau mempertahankan Dr Noor Hisham Abdullah.

Tiong King Sing mempersoalkan Dr Noor Hisham Abdullah kenapa tidak turun padang untuk memberi sokongan moral kepada petugas barisan depan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Rakyat kecoh hari ini selepas seorang ahli Parlimen mendakwa Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah takut mati kerana tidak turun padang melawat hospital, sebaliknya beliau meraih publisiti dengan mengadakan taklimat harian Covid-19.

Kekecohan bermula apabila Tiong King Sing (GPS-Bintulu) mempersoalkan Hisham tidak ke hospital untuk memberi sokongan moral kepada kakitangan perubatan.

Katanya, keadaan Covid-19 di Sabah semakin teruk dan Hisham sepatutnya turun padang.

“Kenapa dia tak turun padang melawat tiap-tiap hospital? ‘Temporary hospital’ kita pergi tengok, berbincang, bagi sokongan moral kepada ‘frontliners’.

“Ini DG (ketua pengarah) hari-hari buat berita (sidang media) saja, bikin apa? Kalau itu berita, bagi ‘office boy’ pun boleh baca.

“Jangan hantar saja doktor, jururawat pergi. Oh mereka tak takut mati, tapi DG takut mati. Timbalan DG pun tak pergi.
Tak usahlah hari-hari bagi publisiti,” katanya ketika membahas Belanjawan 2021.

Beliau turut mendakwa Hisham “mahu menjadi setiausaha agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia”.

“Itu memang tidak layak bagi (pendapat) saya.”

Dakwaan Tiong itu menyebabkan RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit meminta beliau memohon maaf kerana mengkritik penjawat awam.

“Speaker, jangan benarkan dia hentam DG. DG ialah ‘frontliner’.

“Saya minta Bintulu tarik balik kenyataan DG takut mati,” desak Rayer berulang kali selepas mikrofonnya ditutup.

Timbalan Speaker, Azalina Othman Said berulang kali mengarahkan Rayer berhenti berucap untuk membolehkan beliau membuat keputusan.

“Yang berhormat, semua duduk. Saya nak buat keputusan macam mana, setiap kali saya nak buat keputusan semua nak bercakap.

“Tak payahlah saya jadi timbalan speaker, kalau semua nak bercakap, macam mana saya nak buat ‘ruling’?

“Jelutong duduk, saya bagi amaran, kalau anda tidak duduk, anda akan dibawa keluar. Jelutong enggan duduk, bentara keluarkan Jelutong. Keluar Jelutong.”

Azalina kemudiannya meminta Tiong menjelaskan maksud sebenar terhadap dakwaannya itu atau meminta maaf jika tersalah cakap.

“Bintulu, saya dengar apa yang Bintulu cakap, jadi Bintulu nak terangkan ke tarik balik, terpulang,” kata Azalina.

Tiong bagaimanapun berkata, beliau tidak akan menarik balik dakwaan itu.

Katanya, beliau sekadar menyuarakan luahan petugas barisan depan.

“Ini suara dari barisan hadapan, suara dari rakyat, apa salahnya?

“Saya bukan sumpah dia (ketua pengarah) mati, saya kata kenapa dia takut mati, hantar orang lain pergi (turun padang), tapi dia sendiri tak turun padang, salahkah?” soalnya.

Terdahulu, Tiong berkata, rakyat bekerjasama untuk memerangi Covid-19 dan mendakwa Kementerian Kesihatan mempunyai beberapa “kelemahan”, termasuk kegagalan melaksanakan “lockdown” di sekitar kawasan kluster.

“Kenapa kita tidak ‘lockdown’ tempat kluster? Kita ‘test’ semua yang terlibat.

“Kita jalankan ujian, jangan biar mereka pusing satu dunia, sekarang semua negeri dikenakan ‘lockdown’,” katanya sambil menambah KKM tidak patut membiarkan orang ramai bergerak bebas dalam kawasan kluster.

Bagi jangkitan Covid-19 di penjara Lahad Datu, katanya, sepatutnya sekatan pergerakan dilaksanakan segera.

“Begitu juga dengan Kedah, ia bermula dari penjara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.