
Yeah Kim Leng, pakar ekonomi di Fakulti Perniagaan Universiti Sunway berkata, inisiatif itu termasuk insentif pengambilan pekerja, subsidi upah dan program latihan semula akan membantu memastikan rakyat mempunyai pekerjaan.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran keberkesanan langkah itu bergantung kepada keadaan krisis Covid-19.
“Ada banyak bantuan untuk rakyat tetapi perbelanjaan pengguna mungkin berkurang jika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilanjutkan untuk membendung penularan Covid-19,” katanya kepada FMT.

Antara inisiatif yang Yeah katakan akan membantu, termasuk insentif pengambilan pekerja golongan orang kurang upaya (OKU), bekas banduan, ibu tunggal dan mereka yang menganggur selain pengurangan cukai untuk menggaji warga lebih berusia.
Selain itu, program Penjana Kerjaya dengan peruntukan RM2 bilion dijangka memanfaatkan 250,000 pencari pekerjaan melalui pemberian insentif bagi majikan yang mengambil pekerja baharu.
Melalui program itu, majikan akan mendapat 40% daripada pendapatan pekerja baharu selama 6 bulan dengan had RM4,000 sebulan. Secara asasnya, ia akan membolehkan majikan menggaji pekerja berkemahiran tinggi dengan pendapatannya sehingga RM10,000 dan menerima 40% insentif sehingga RM4,000 sebulan selama 6 bulan.
Inisiatif utama lain termasuk memperluaskan program peningkatan kemahiran dan latihan semula menerusi peruntukan RM1 bilion dan peruntukan RM50 juta untuk melatih semula 8,000 pekerja syarikat penerbangan yang diberhentikan.
Yeah berkata, inisiatif lain untuk mengurangkan kadar pengangguran adalah MyStep, program pekerjaan jangka masa pendek yang akan menawarkan 50,000 pekerjaan kontrak dengan kerajaan selain syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Sementara itu, pakar ekonomi Hoo Ke Ping yang juga penasihat di Institut Strategik Kingsley berkata, inisiatif berkenaan akan membantu mengekang pemberhentian kerja di sektor swasta.
“Kerajaan hanya dapat menawarkan pekerjaan dalam perkhidmatan awam tetapi dengan inisiatif kepada sektor swasta, sekurang-kurangnya tidak akan berlaku peningkatan mendadak kadar pengangguran.”
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata, subsidi upah dan insentif pengambilan pekerja golongan OKU dan mereka yang menganggur, amat dialu-alukan.
“Kebanyakan insentif yang diberikan kepada kami akan membantu majikan mengekalkan pekerja mereka,” katanya.
Shamsuddin berkata, pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja dari 11% kepada 9% akan memastikan mereka mempunyai lebihan tunai yang kemungkinan besar akan masuk ke dalam pasaran.
“Kerajaan melakukan apa yang mereka boleh dalam waktu yang sukar ini,” katanya.