
Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berkata kementeriannya melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera kini menekankan latihan peralihan berasaskan industri, dengan anggota perlu mengikuti program latihan memenuhi kehendak pasaran pekerjaan semasa.
Antara beberapa inisiatif bagi mempersiapkan veteran adalah program Prowira Readiness-to-Work, Program Reskilling and Upskilling Veteran dan Program JanaVeteran.
“(Dulu) setiap kali selepas latihan (peralihan) hanya 20% hingga 30% yang dapat kerja.
“Kini, kita sasarkan jika ada 5,000 anggota setahun yang perlu melalui peralihan untuk berpencen, sekurang-kurangnya 50% memperoleh pekerjaan dalam industri dan syarikat dengan pendapatan bermaruah,” katanya berucap merasmikan Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia di sini.
Beliau berkata, kerajaan turut membiayai pengajian diploma bagi anggota masih berkhidmat sebagai persediaan sebelum mereka menamatkan perkhidmatan.
“Kerajaan membayar kos untuk mendapat diploma sekurang-kurangnya RM6,500 dan untuk tahun ini, kita sasarkan 1,000 yang sedang berkhidmat mendapat diploma.”
Menurutnya, kerajaan juga akan menanggung kos program latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) untuk veteran bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pekerjaan.
Dalam sidang media berasingan, Khaled berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan syarikat seperti Boustead Plantations Bhd bagi membuka peluang pekerjaan kepada veteran berminat menceburi bidang pertanian.
“Kita ada pelbagai program pertanian yang akan dilakukan bersama Bousted Plantation. Jadi, mana-mana veteran yang ada tanah boleh menyertai program tanaman bernilai komersial seperti halia, lada dan sebagainya.”