
Katanya, langkah itu perlu kerana pemantauan dilakukan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mendapati masih terdapat 6 blok batuan tergantung bersaiz antara 5m hingga 10m yang berisiko jatuh.
“JMG juga mengenalpasti aliran air masih aktif di sepanjang muka cerun yang keluar melalui rekahan, manakala sebahagian batu kapur di lokasi kejadian mengalami kadar luluhawa yang tinggi dan memudahkan berlaku jatuhan batuan.
“Bukit batu kapur di lokasi kejadian mempunyai tebing tegak dan lazimnya mempunyai rekahan dan satah perlapisan.
“Ini menyebabkan bukit batu kapur berpotensi untuk mengalami runtuhan atau jatuhan batuan dan ia adalah fenomena geologi yang tidak boleh diramal bila akan berlaku,” katanya pada sidang media hari ini.
Terdahulu, beliau melakukan tinjauan di lokasi kejadian bersama Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Mohd Zolkafly Harun dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Nolee Ashilin Mohamed Radzi.
Faizal berkata, susulan kejadian semalam, pihak pengurusan pusat peranginan itu juga diarah menutup sementara operasi sehingga arahan lanjut pihak berkuasa.
“Kita juga dimaklumkan semua tetamu yang menginap di situ dipindahkan atas faktor keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, Faizal turut menegaskan pelan pembangunan di kawasan resort itu dibuat mengikut perancangan dan mendapat kelulusan pihak berwajib.
Katanya, siasatan awal dijalankan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mendapati pembangunan dibuat di pusat peranginan itu 20 tahun lalu mengikut kelulusan semua jabatan berkaitan.
Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, 2 mangsa Ooi Chee Wei, 39 dan Lee Tze Juin, 32, ditemui meninggal dunia akibat tertimbus.
Kejadian tanah runtuh itu berpunca daripada struktur tanah lemah akibat kapasiti tinggi penyerapan air pada tanah di lereng bukit batu kapur.