Rayu benar Piala Malaysia bila kes Covid-19 turun, kata menteri

Rayu benar Piala Malaysia bila kes Covid-19 turun, kata menteri

Kelmarin Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Piala Malaysia ditangguhkan selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan.

Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican berharap baki perlawanan Piala Malaysia diteruskan di negeri zon hijau.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membuat rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya membenarkan Piala Malaysia yang berbaki 7 perlawanan diteruskan apabila kes Covid-19 menurun.

Menterinya Reezal Merican Naina Merican berkata, walaupun beliau mahu perlawanan itu diteruskan tetapi akur keputusan MKN selepas mengambil kira kesihatan rakyat.

“Secara peribadi saya berharap 7 perlawanan ini diteruskan di negeri (zon) hijau, namun kita akur kepada MKN yang melihat kepada kesihatan rakyat lebih penting.

“KBS akan kemukakan rayuan demi rayuan bila ada penurunan kes,” katanya menjawab pertanyaan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) yang meminta kementerian menyatakan perkembangan Liga Malaysia di Dewan Rakyat hari ini.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, Piala Malaysia ditangguhkan ke tarikh akan diumumkan kemudian selepas kerajaan mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan berharap peminat bola sepak bersabar dengan penangguhan itu.

“Pertandingan bola sepak walaupun tiada penonton, mereka akan ada sentuhan daripada pemain. Itu lebih berbahaya kerana mereka berpeluh jadi bersentuhan itu dianggap lebih berbahaya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.