Takut mati? Bukan isu, kata KP Kesihatan

Takut mati? Bukan isu, kata KP Kesihatan

Dr Noor Hisham Abdullah berkata orang Islam perlu menerima kematian di mana saja.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM sudah membuat perancangan yang khusus untuk Sabah.
PUTRAJAYA:
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tidak timbul isu takut mati selepas dipertikai seorang ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini kerana didakwa tidak turun melawat hospital.

Beliau berkata, sebagai orang Islam perlu menerima kematian di mana saja akan berlaku.

“Bukan turun padang atau tidak. Jadi, apa yang penting kita pasangkan niat untuk laksanakan tugas kita, dan niat kita nak putuskan rantaian Covid-19 dalam negara. Ini tujuan utama kita,” katanya pada sidang media hari ini.

Noor Hisham berkata, apa yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memutuskan jangkitan Covid-19.

“Ini supaya kita dapat selamatkan negara kita daripada Covid-19 dan kadar kematian,” katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat kecoh hari ini selepas seorang ahli Parlimen mendakwa Noor Hisham takut mati kerana tidak turun padang melawat hospital, sebaliknya beliau meraih publisiti dengan mengadakan taklimat harian Covid-19.

Kekecohan bermula apabila Tiong King Sing (GPS-Bintulu) mempersoalkan Noor Hisham tidak ke hospital untuk memberi sokongan moral kepada kakitangan perubatan.

Katanya, keadaan Covid-19 di Sabah semakin teruk dan Noor Hisham sepatutnya turun padang.

Dakwaan Tiong itu menyebabkan RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit meminta beliau memohon maaf kerana mengkritik penjawat awam.

Sementara itu, Noor Hisham berkata KKM sudah membuat perancangan yang khusus untuk Sabah.

Beliau berkata, sudah mengarahkan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Chong Chee Kheong pada akhir Ogos melihat pengurusan iaitu kesiapsiagaan KKM bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Saya juga telah arahkan Chong untuk turun sama iaitu minggu lepas untuk lihat tindakan kita iaitu pengurusan Covid-19 dan isu yang timbul di Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.