Kelantan akan kurang separuh bilangan mangsa banjir di PPS elak Covid-19

Kelantan akan kurang separuh bilangan mangsa banjir di PPS elak Covid-19

Pengarah APM Kelantan Zainuddin Hussin berkata, jumlah PPS yang akan dibuka juga mungkin lebih banyak berbanding sebelum ini.

APM Kelantan berkata, penyediaan makanan di PPS di negeri itu akan dikendalikan oleh JKM dengan makanan disediakan 3 kali sehari secara bungkusan. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Jumlah mangsa banjir di setiap pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan akan dikurangkan separuh daripada jumlah biasa selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Zainuddin Hussin berkata, sebagai contoh, PPS yang menampung seramai 500 mangsa akan dikurangkan kepada 250 orang sahaja, dan jumlah PPS yang akan dibuka mungkin lebih banyak berbanding sebelumnya.

“Memang kita akui tahun ini berbeza dengan tahun sebelumnya disebabkan pandemik Covid-19, maka kapasiti di PPS perlu dihadkan.

“Pada masa sama jumlah PPS mungkin akan bertambah sekali ganda. Perkara itu akan dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya hari ini.

Pengarah APM Kelantan Zainuddin Hussin.

Beliau yang juga sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan berkata, setiap mangsa banjir juga akan diingatkan untuk menjaga penjarakan fizikal, terutamanya antara keluarga masing-masing.

Beliau berkata, pihaknya juga menimbangkan untuk tidak membuat kerja-kerja memasak di PPS secara bergotong royong dan penyediaan makanan akan dikendalikan oleh JKM dengan makanan disediakan 3 kali sehari secara bungkusan.

“Langkah ini adalah bagi menjamin kebersihan makanan dan tidak digalakkan memasak sendiri kerana kita mengutamakan kebersihan ketika berada di PPS,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.