
Setiausaha agung DAP itu dalam satu temu bual berkata negara memerlukan “belanjawan luar biasa dalam keadaan luar biasa” dan di sinilah, dakwa beliau, ada kekurangan dalam belanjawan kerajaan sebanyak RM322.5 bilion itu.
Katanya, rakyat perlu bertahan dan apa yang penting sekarang adalah menyalurkan wang kepada orang miskin, mereka yang menganggur, dan mereka yang memerlukan untuk memastikan mereka dapat bertahan dan anak-anak mereka tidak kebuluran.
“Ini adalah krisis yang besar, dengan magnitud yang tidak dapat dibayangkan, kita tidak tahu apa yang akan berlaku tahun depan,” katanya dalam program Breakfast Grille di radio BFM, hari ini.
Berhubung angka pengangguran, Lim berkata belanjawan hanya mengambil kira mereka di sektor formal.
“Bagaimana pula dengan sektor tidak formal, jangan lupa golongan ini. Kita mesti hulurkan bantuan.”
Beliau berkata banyak yang tidak mempunyai wang dan ini adalah alasan mengapa ada permintaan untuk dibenarkan keluar wang sebanyak RM10,000 dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.
Kerajaan berkata pencarum akan dibenarkan membuat pengeluaran sebanyak RM500 sebulan untuk 12 bulan.
“Ini menunjukkan kerajaan gagal apabila rakyat diminta untuk korbankan wang simpanan hidup mereka,” katanya, sambil menambah, kerajaan sebaliknya perlu memberikan lebih banyak bantuan.
Katanya, ini termasuk usul pembangkang meminta peruntukan RM31.4 bilion bagi melanjutkan moratorium pinjaman automatik kepada B40 dan M40 selama 6 bulan, lanjutan skim Malaysia@Work untuk mewujudkan 600,000 pekerjaan dalam 2 tahun setengah akan datang, dan meningkatkan bantuan kebajikan bulanan sebanyak RM1,000.
Lim juga mengkritik unjuran kewangan kerajaan bagi 2021, terutama pertumbuhan ekonomi dan anggaran pendapatannya, sebagai terlalu optimis.
Kerajaan mengunjurkan ekonomi tumbuh antara 6.5% dan 7.5% tetapi beliau berkata ia tidak realistik kerana pertumbuhan ekonomi global terkesan dengan gelombang ke-3 pandemik Covid-19.
“Kita tidak pasti kita boleh capai tahap 2019 atau lebih dari itu. Menjangkakan pendapatan lebih tinggi daripada 2019 (juga) amat sukar kerana banyak perniagaan menderita. Banyak yang ditutup dan pelancongan lemah.”