
Baru-baru ini, kisah Nur Natasya Rasid, 24, dan suaminya Muhammad Iqbal Ramli, 24, tular selepas menaiki motosikal ke hospital berkenaan dari sini untuk membawa anaknya Nur Mardhiah Shahadah yang berusia 3 tahun mendapatkan rawatan pelbagai penyakit kronik.
Isteri menteri besar, Nomee Ashikin Mohammed Radzi, yang berkunjung ke kediaman keluarga itu di Taman Meru di sini hari ini berkata, selain membantu menyediakan pengangkutan, beberapa bantuan lain akan diberikan kepada mereka.
“Menteri besar telah memaklumkan akan menyediakan pengangkutan di mana sahaja rawatan dijalankan memandangkan adik Nur Mardhiah Shahadah perlu mendapatkan rawatan setiap 2 minggu di HKL yang merupakan bebanan yang tinggi.
“Selain itu, kami juga akan bantu keluarga ini membayar sewa rumah mereka sekurang-kurangnya selama 6 bulan dan saya akan cuba bantu untuk merujuk beberapa rawatan anak ini dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, namun ia bergantung kepada kebenaran HKL,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Nur Natasya di Taman Meru di sini.
Nur Mardhiah Shahadah yang merupakan anak bongsu daripada 3 beradik menderita pelbagai penyakit kronik, termasuk kanser mata, penyakit genetic, iaitu Chromosome 13q Deletion Syndrome, buah pinggang dan paru-paru.
Dalam pada itu, Nur Natasya amat bersyukur atas keprihatinan orang ramai, termasuk menteri besar serta isteri yang menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung keluarganya.
Nur Natasya berkata, kos saraan anaknya itu semakin bertambah menjadi sekitar RM1,700 sebulan kerana perlu berulang-alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur sejak berpindah ke bandar raya itu 5 bulan lalu.
Katanya, pendapatan suaminya sebagai buruh sekitar RM1,000 sememangnya tidak mencukupi untuk menampung kos tersebut, tetapi amat bersyukur atas bantuan orang ramai kepada mereka.