TI-M bimbang rasuah sistemik dalam kalangan penjawat awam

TI-M bimbang rasuah sistemik dalam kalangan penjawat awam

Ia susulan penahanan 27 pegawai imigresen kerana disyaki terlibat dalam sindiket 'pasport terbang' pekerja asing.

Seramai 27 pegawai imigresen antara 46 individu ditahan dalam operasi bersama SPRM dan Jabatan Imigresen. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan anti-rasuah, Transparency International Malaysia (TI-M) menyuarakan kebimbangan terhadap rasuah sistemik dalam kalangan penjawat awam selepas sebuah sindiket imigresen membabitkan pegawai Jabatan Imigresen dilumpuhkan.

Presidennya, Muhammad Mohan berkata, rasuah sistemik tidak baik untuk Malaysia dalam skor Indeks Persepsi Rasuah.

“Nampaknya kerosakan itu datang dari Jabatan Imigresen, dengan tangkapan berkala dibuat ketika negara bergelut dengan sempadan mudah ditembusi dan dilabel sebagai destinasi penyeludupan pendatang asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melumpuhkan sindiket imigresen dengan penahanan 46 orang, termasuk 27 pegawai imigresen.

Sindiket itu, yang aktif sejak setahun lalu, membantu majikan yang mahu pekerja asing mereka terus kekal di negara ini atau pulang ke negara asal.

Mohan berharap Jabatan Imigresen dan SPRM akan terus menyingkirkan pegawai korup di jabatan itu dan dalam perkhidmatan awam.

“Kami juga menggalakkan kerajaan mempertimbangkan untuk menandatangani Protokol Menentang Penyeludupan Migran Melalui Darat, Laut dan Udara, yang akan membantu kami menyelaras, menggubal dan memerangi penyeludupan pendatang asing rentas negara.”

Sementara itu, bekas presiden TI-M, Akhbar Satar memberitahu FMT, agensi penguatkuasaan perlu mempunyai mekanisme pemantauan dalaman yang kukuh.

Katanya, mereka yang berperanan sebagai penyelia perlu memantau kakitangan di bawah tanggungjawab mereka.

“Mereka juga perlu membuat pemeriksaan mengejut ke atas pegawai di lapangan supaya mereka tahu mereka dipantau.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.