Saya beri amaran berkait Jho Low, 1MDB kepada bos, kata bekas pegawai Goldman
Roger Ng berkata, bekas bosnya, Tim Leissner sebenarnya ialah tumpuan dalam skandal itu kerana dia akhirnya meyakinkan Goldman Sachs untuk berurusan dengan Jho Low.
NEW YORK: Bekas pegawai Goldman Sachs Group Inc, Roger Ng meminta kes rasuah asing terhadapnya digugurkan kerana beliau “memberi amaran” kepada bank itu tidak berurusan dengan ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho.
Ng, yang berkata beliau memberitahu Goldman, Low “tidak boleh dipercayai”, berdepan perbicaraan tahun depan atas tuduhan rasuah dan konspirasi pengubahan wang.
Dia didakwa membantu bekas perdana menteri, Najib Razak dan individu lain menyeleweng sekurang-kurangnya AS$2.7 bilion daripada 1MDB. Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, didakwa mendalangi skandal itu.
Dalam pemfailan sepanjang 126 halaman, Ng berkata, AS tiada urusan mendakwanya kerana jenayah itu didakwa dilakukan di Malaysia.
Beliau berkata, bekas bosnya, Tim Leissner, bekas pegawai bank Goldman yang bersetuju untuk mengaku bersalah dan memberi keterangan terhadapnya, sebenarnya ialah tumpuan dalam skandal itu kerana dia akhirnya meyakinkan bank terbabit untuk berurusan dengan Low.
Seawal Mac 2010, Ng “memberi amaran secara khusus” kepada pihak atasannya di Goldman untuk “berhati-hati berurusan dengan Low,” kata peguam bela, Marc Agnifilo dalam pemfailan itu.
“Amaran Ng dikongsi dengan tahap tertinggi bahagian undang-undang dan pematuhan syarikat itu. Syarikat itu tidak mendengarnya.”
Jurucakap Goldman, Maeve DuVally, peguam Leissner, Henry Mazurek dan John Marzulli, jurucakap untuk pemangku Peguam Negara AS, Seth DuCharme di Brooklyn, New York, yang mengendalikan pendakwaan kes itu, enggan mengulas pemfailan itu.
Low, yang menafikan terbabit dalam kesalahan itu, dianggap orang buruan dan didakwa tanpa hadir di Malaysia serta AS atas tuduhan pengubahan wang dan kesalahan lain.
Goldman bersetuju membayar penalti berbilion dolar kepada Jabatan Kehakiman dan pihak berkuasa AS lain atas peranannya dalam skandal 1MDB, kes rasuah asing terbesar dalam sejarah penguatkuasaan AS.
‘Rakan bawa masuk perniagaan’
Ng mengakui dia yang mula memperkenalkan Low kepada bank itu, tetapi itu “pada awal 2009, ketika tiada orang ada alasan untuk mengenali Low menjalankan skim penipuan”.
Menjelang 2012, katanya, Leissner menjadi kontak utama Low dalam Goldman dan “rakan membawa masuk perniagaan” dan “lebih berkuasa”.
“Ia adalah Leissner, dan hanya Leissner, yang kemudiannya berbohong untuk Low, melindungi dan akhirnya menjadi penjenayah yang berkhidmat untuk Low sepenuhnya.”
Leissner, antara pegawai Goldman terkenal di Asia, mengakui bersubahat untuk pengubahan wang dan melanggar undang-undang anti-rasuah AS dengan mengambil bahagian dalam satu skim sogokan dari 2009 hingga 2014 untuk mendapatkan perniagaan 1MDB.
Dia dijadualkan memberi keterangan terhadap Ng dalam perbicaraan.
Dalam pemfailan itu, Agnifilo turut menyerang peruntukan “senyap” yang menurutnya dilaksanakan AS sebagai sebahagian perjanjian pendakwaan ditangguhkan berbilion dolar dengan Goldman.
Katanya, syarat itu bermakna mana-mana pegawai Goldman yang diberikan amaran oleh Ng mengenai Low kini “takut” memberitahu kebenarannya kerana bimbang perjanjian bank itu dengan AS dibatalkan.
Beliau berkata, peruntukan itu yang “dilaksanakan atas budi bicara kerajaan, memastikan tiada kakitangan Goldman akan bercanggah dengan naratif kerajaan berkaitan salah laku Goldman – termasuk dakwaan salah laku Ng yang dihadapinya”.
Agnifilo berkata, “ini menimbulkan isu perlembagaan dalam kes ini” dengan menghalang penggunaan saksi oleh Ng dalam pembelaannya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Ng, yang dibebaskan dengan pertukaran bon AS$20 juta, dijadual dibicarakan pada Mac depan.